IPOH 24 Julai – Kerajaan negeri Perak menyediakan kemudahan pinjaman pendidikan tanpa faedah bagi anak negeri ini untuk menyambung pengajian pada peringkat pasca siswazah.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, pinjaman sehingga RM10,000 setahun diberi bagi peringkat Ijazah Sarjana manakala RM15,000 untuk Doktor Falsafah (PhD).
“Permohonan bagi mendapatkan Pinjaman Pengajian Tinggi Kerajaan Negeri Perak ini dibuka setiap tahun bagi pengajian ke universiti tempatan dan luar negara yang ditaja.
“Selain pinjaman ini, Yayasan Perak pun ada menyediakan bantuan dengan peruntukan tahunan sebanyak RM10 juta bagi pengajian ke universiti tempatan dan RM2 juta untuk luar negara,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria (BN-Batu Kurau) berhubung apakah usaha kerajaan negeri bagi menyediakan bantuan pendidikan pasca siswazah pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
Dalam pada itu kata Abdul Aziz, sehingga kini kerajaan negeri telah berjaya mengutip bayaran balik pinjaman berkenaan sebanyak RM4.7 juta pada tahun 2017, RM3.5 (2018) dan RM1.3 juta (sehingga Mac lalu).
Jelasnya lagi, kadar kutipan bayaran balik pinjaman ini adalah baik dan dilakukan menerusi notis dan lain-lain kaedah pemberitahuan bertujuan meningkatkan kutipan.
“Rebet sebanyak 20 hingga 30 peratus turut ditawarkan pada peminjam pada 1 Jun hingga 1 Julai lalu bertujuan menggalakkan bayaran balik.
“Ini juga bagi mengurangkan jumlah tunggakan selain memberi peluang kepada peminjam yang ingin melunaskan pinjaman penuh,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











