Penuhi permintaan terakhir banduan sebelum hukuman gantung - Utusan Malaysia

Penuhi permintaan terakhir banduan sebelum hukuman gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selain sebat, hukuman yang paling digeruni adalah hukuman gantung sampai mati.

Bekas Ketua Pengarah Penjara, Datuk Omar Mohamed Dan berkata, antara tugasnya ketika menjadi Pengarah Penjara Pudu ialah bertemu dengan banduan akhir untuk memberitahu hukuman akan dijalankan pada keesokan harinya beserta waktu.

“Selalunya saya bertanya sama ada mereka mempunyai permintaan terakhir iaitu mahu berjumpa keluarga atau tidak. Ada yang ingin bertemu keluarga dan ada juga yang menolak atas pelbagai sebab tertentu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lepas itu saya akan tanya apa yang mereka inginkan. Ketika itu pada 1993, mereka diberi bajet sebanyak RM7.50 untuk memilih apa sahaja makanan terakhir yang diinginkan,” jelasnya.

Ketika ditanya perasaan beliau ketika melihat banduan berjumpa dengan ahli keluarga buat kali terakhir, Omar memberitahu, sudah pasti hatinya akan tersentuh kerana pertemuan itu adalah perpisahan selama-lamanya buat ayah atau ibu bersama keluarganya, anak bersama ibu bapa dan sebagainya.

Menurut beliau, perasaan itu perlu dibuang jauh kerana hukuman perlu dijalankan dan beliau juga perlu kuat untuk memberi semangat kepada keluarga banduan.

Katanya, terdapat juga mayat banduan yang telah dikenakan hukuman gantung tidak dituntut oleh ahli keluarga atas sebab-sebab tertentu.

“Kalau tanya saya, memang saya kesal jika seseorang itu meninggal dunia di tali gantung, tetapi kita perlu ingat mereka juga adalah manusia dan siapa tahu banduan-banduan ini lebih baik daripada kita,” kata bapa kepada empat orang anak ini.

Ketika ditanya mengenai layanan terhadap banduan, Omar menjelaskan, tidak wujud diskriminasi melibatkan status banduan sama ada orang tersebut berkepentingan atau banduan biasa.

Tegasnya, kesemua banduan diberi layanan sama dan pengasingan akan dilakukan atas faktor keselamatan sahaja.

“Daripada makanan sampailah kemudahan dan lain-lain, semua banduan diberi hak serta layanan yang sama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini