Pentadbiran negara tidak tergugat - TPM - Utusan Malaysia

Pentadbiran negara tidak tergugat – TPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 25 Julai – Datuk Seri Dr. Wan Azizah menegaskan, pentadbiran negara tidak akan tergugat dengan isu dalaman PKR yang berlaku ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perbezaan pendapat dalam parti politik merupakan perkara biasa namun perkara penting yang perlu dititikberatkan adalah kesatuan antara anggotanya untuk terus memulihkan negara.

Menurutnya, tidak timbul isu dua kem dalam parti tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam politik memang macam itu, tetapi kita bersatu, ramai yang di bawah iaitu anggota parti menyokong Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) 2019 di sini hari ini.

Sebelum ini akhbar melaporkan bahawa kemelut politik dalam PKR semakin ketara apabila Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak menghadiri pemukiman parti di Port Dickson, Negeri Sembilan minggu lalu.

Yang turut tidak menghadiri pemukiman itu ialah Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

Ketidakhadiran kedua-dua mereka mencetuskan spekulasi pertembungan di dalam PKR semakin memuncak memandangkan pemukiman itu diadakan ketika parti berada dalam krisis.

Mohamed Azmin sebelum ini secara terbuka meminta Anwar bermuhasabah dan mencermin diri berikutan kenyataan Presiden PKR itu yang berpendapat Menteri Hal Ehwal Ekonomi tersebut perlu meletakkan jawatan jika video seks dikaitkan dirinya itu adalah tulen.

Lembaga Disiplin PKR semalam pula memaklumkan akan meminta beberapa individu termasuk Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Mubarak membuat penjelasan berhubung ungkapan jelek yang dilemparkan kepada Mohamed Azmin.

Kelmarin, Farhash, yang juga Setiausaha Politik Anwar, ketika dibebaskan daripada tahanan polis mengakhiri ucapan di hadapan sekumpulan penyokongnya dengan laungan ‘Azmin semburit’.

Ditanya mengenai gesaan sebahagian besar ahli parti yang mahu Farhash dikenakan tindakan, Dr. Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR berkata, perkara itu akan diteliti Lembaga Disiplin parti. – UTUSAN ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini