IPOH 26 Julai – Jurulatih Perak, Mehmed Durakovic tidak terganggu dengan penggunaan pengadil dari Jepun untuk mengadili pentas final Piala FA menentang Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
Menurutnya, tidak kira pengadil luar atau tempatan, mereka sama sahaja asalkan dapat membuat keputusan yang tepat.
“Pengadil Malaysia atau Jepun sama saja bagi saya, mereka buat kerja yang baik, tiada beza pengadil tempatan atau luar.
“Selama ini pun saya tiada apa-apa masalah dengan pengadil kita dalam saingan liga tempatan,”katanya.
Beliau ditemui selepas majlis bacaan Yassin dan solat hajat sempena perlawanan akhir Piala FA di Masjid Negeri di sini semalam.
Sebelum ini, keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggunakan pengadil dari Jepun untuk mengadili final Piala FA menimbulkan kritikan.
Antaranya, pengadil Piala Dunia 2010, Subkhiddin Mohd. Salleh yang kecewa dengan tindakan FAM itu kerana secara tidak langsung menimbulkan persepsi buruk tentang kualiti pengadil tempatan dan bola sepak Malaysia. – UTUSAN ONLINE











