Pengadil juga manusia biasa - Sathianathan - Utusan Malaysia

Pengadil juga manusia biasa – Sathianathan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pertembungan Perak dan Kedah dalam aksi berprestij final Piala FA 2019 Sabtu ini bukan sahaja menjanjikan persembahan menarik dua gergasi utara beradu kehebatan bagi merebut gelaran juara, tapi juga membuka lembaran baharu dalam sejarah bola sepak Malaysia.

Buat julung kalinya, kelibat pengadil profesional dari Jepun akan digunakan dalam perlawanan akhir edisi ke-30, satu usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk memperbaiki mutu pengadilan dalam kancah bola sepak negara.

Intensiti permainan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu pasti mencapai tahap tertinggi, dipengaruhi status dan ego dimiliki skuad The Bos Gaurus dan Lang Merah, selain mengambil kira keterujaan penyokong menjelang aksi berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B.Sathianathan berkata sama ada pengadil tempatan atau pengadil luar, kedua-dua tidak akan terlepas dari membuat kesilapan, namun berpendapat implikasi lebih rendah sekiranya kesilapan itu dilakukan pengadil luar.

“Sebenarnya sehingga perlawanan tamat tiada jaminan pengadil itu mampu mengendalikan ia dengan baik atau tidak. Mereka itu manusia bukannya komputer yang sudah diprogram. Cuma saya rasa kalau ada kesilapan itu mungkin impaknya sedikit rendah kerana mereka secara terang adalah orang yang berkecuali.

“Kalau ada yang ingin mempertikaikan pun, mereka (pengadil Jepun) ini bukan berasal dari Perak atau Kedah selain tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam saingan Liga Malaysia,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada masa sama, Sathianathan menganggap penggunaan pengadil luar pada aksi final kali ini sebagai alternatif kepada persoalan yang sering timbul membabitkan mutu pengadilan pengadilan.

“Selama ini setiap perlawanan termasuk final hanya melibatkan pengadil tempatan jadi sebab itu mereka lebih mudah ‘diserang’ peminat. Kadang-kadang kerana seorang, semua mendapat nama buruk sedangkan bagi saya masih ada sesetengah pengadil tempatan yang begitu baik.

“Jadi, jika mereka (pengadil Jepun) mengadili perlawanan itu nanti dengan baik…memuaskan kedua-dua pihak termasuk penyokong, pasukan dan pengurusan tiada masalah akan timbul, tetapi tidak semestinya jika mereka buat silap tidak akan mendatangkan apa-apa kesan buruk,” tambahnya.

Sebagai rekod, pengadil tempatan J.Suresh yang mengendalikan final Piala Malaysia 2018 antara Terengganu dan Perak yang lepas, dianggap ramai peminat bola sepak tanah air sebagai pengadil terburuk dalam sejarah pengadilan trofi berprestij itu.

Beberapa keputusan kontroversi dibuat Suresh termasuk membatalkan dua jaringan dan layangan dua kad merah pada perlawanan itu menyaksikan integriti beliau dipersoal. – BERNAMA

 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini