KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mara ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Jepun selepas melakar kejutan menumpaskan pilihan ketiga dan wakil tuan rumah, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, hari ini.
Gandingan negara yang beraksi selaku pilihan kelima itu, bagaimanapun, diberi tentangan sengit sebelum berjaya menumpaskan pasangan ranking ketiga dunia itu dengan keputusan 21-18, 22-20 pada aksi suku akhir.
“Sangat berpuas hati dengan persembahan, hari ini, walaupun, dua set tersebut mengambil masa hampir satu jam. Ketika mendahului, memang ada rasa berdebar sikit sebab kalau tidak menang, seolah bagi laluan mudah pula kepada mereka,” kata Liu Ying ketika dihubungi.
Gandingan negara itu bakal berdepan pilihan kedua dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dalam separuh akhir, esok.
“Selepas ini akan main dengan dengan pasangan China dan haraplah boleh menang. Tapi paling penting kita hendak beri aksi paling terbaik,” katanya.
Terdahulu, gandingan Yi Lyu-Dong Ping menewaskan pasangan bukan pilihan dari Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich dengan keputusan 21-10, 21-18. – BERNAMA











