KUALA LUMPUR 22 Julai – Orang ramai yang ditemui Utusan Malaysia hari ini mempertikaikan kebolehan Air Selangor dan pihak berkuasa yang berkaitan dalam pengurusan bekalan air ekoran insiden demi insiden pencemaran yang berlaku.
Peniaga yang mahu dikenali Masirah, 42, mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang tidak cukup ‘kritikal’ atau culas dalam memastikan setiap loji rawatan bebas pencemaran.
“Bagaimana isu pencemaran loji ini boleh menjadi trend sepanjang tahun? Daripada satu sungai ke satu sungai. Adakah pengurusan Air Selangor sendiri lemah dalam menangani krisis ini?
“Sampai bila kami nak hadap isu air ini? Nak berniaga pun susah. Kami hilang sumber pendapatan setiap kali bekalan air terputus berhari-hari. Mereka boleh suruh sabar tapi mereka tidak lalui beban orang macam kami,” katanya.
Masirah berkata, satu penyelesaian atau mekanisme sepatutnya dilaksana untuk memastikan pencemaran sungai tidak berlaku.
“Kami orang biasa tak faham istilah loji itu dan loji ini, tapi kami tahu sungai ada banyak bahan asing. Itu semua mereka yang perlu uruskan,’’ katanya.
Kakitangan swasta, Mohd. Amirul Ali, 25, berkata, gangguan bekalan air menjadi semakin memeritkan apabila bantuan bekalan air yang diagihkan tidak mencukupi dan tidak mampu menampung keperluan orang ramai.
“Nak mengangkut air ke rumah sudah satu hal. Kemudian di tempat agihan nak beratur lagi. Memang perit,’’ katanya.











