PUTRAJAYA 24 Julai – Kementerian Kesihatan dan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) telah memutuskan bahawa pemberian surat layak daftar kini dipanjangkan kepada graduan perubatan yang mengemukakan transkrip akhir universiti ditandatangani oleh presiden, senat, rektor atau pendaftar universiti sebagai alternatif.
Langkah itu jelas Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, adalah bagi memudahkan lantikan graduan perubatan sebagai pegawai perubatan siswazah.
“Kriteria ini adalah sejajar dengan Akta Perubatan 1971,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu adalah susulan terdapat beberapa graduan perubatan yang tidak berjaya mendapat surat layak daftar dari MPM untuk kegunaan permohonan lantikan sebagai pegawai perubatan siswazah.
Untuk layak berdaftar dengan MPM, seseorang graduan perubatan perlu mengemukakan ijazah asal perubatan daripada universiti atau kolej perubatan yang diiktiraf MPM.
Setelah mengemukakan dokumen yang diperlukan, MPM akan mengeluarkan surat layak daftar kepada pemohon bagi kegunaan permohonan lantikan sebagai pegawai perubatan siswazah dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Noor Hisham yang juga Presiden MPM berkata, sekiranya telah memenuhi kriteria tersebut, surat layak daftar dengan nombor siri akan diberikan oleh pihak MPM kepada graduan perubatan tersebut dan digunakan untuk pendaftaran atau permohonan secara atas talian melalui SPA8i dengan pihak SPA.
Beliau menambah, surat dekan yang dikeluarkan oleh fakulti perubatan adalah tidak diterima.
“Tiada perubahan dalam proses untuk permohonan bagi pelantikan sebagai pegawai perubatan siswazah,” tambahnya.
Bagi calon-calon yang telah ditawarkan lantikan tetapi tidak mempunyai dokumen yang disebutkan sebelum ini, jelasnya, mereka dinasihatkan supaya mendapatkannya dari pihak universiti atau kolej perubatan dengan kadar segera dan dikemukakan kepada pihak MPM.
“Graduan perubatan berkaitan tidak perlu khuatir kerana tawaran pelantikan sebagai pegawai perubatan siswazah kepada pemohon adalah tidak terbatal dan lantikan akan terus dibuat pada kumpulan pengambilan yang akan datang setiap dua bulan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











