KUALA LUMPUR 26 Julai – Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kalaka Roban maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 6, Jalan Roban-Kabong, Sarawak hari ini.
Menurut portal Utusan Borneo, dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, penunggang motosikal, Felvin veroddex Jashper Fidie, 14, maut di tempat kejadian, manakala pembonceng pula cedera parah.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintenden Mordani Tanin berkata, kedua-dua mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan balik dari sekolah.
“Siasatan awal mendapati, ketika kejadian kedua-dua mangsa datang dari arah Roban dan tiba di simpang Ulu Roban yang terletak di sebelah kanan dan secara tiba-tiba mangsa terus meluru masuk ke laluan bertentangan.
“Disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu kereta yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak dan menyebabkan motosikal yang ditunggang mangsa merempuh bahagian hadapan kereta,” katanya.
Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Saratok untuk proses selanjutnya dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE











