KUALA LUMPUR 26 Julai – Seorang pelacur dipercayai warga asing maut selepas terjatuh dari tingkat lima Hotel Richmoore di Jalan Pasar Baharu, Pudu, di sini kira-kira pukul 12.15 tengah malam tadi.
Pelacur tersebut dipercayai cuba menyembunyikan diri di ruang belebas luar untuk mengelak daripada ditahan pihak berkuasa yang menjalankan Op Noda di kawasan tersebut bermula pukul 10.50 malam semalam.
Penolong Pengarah (D7A) Pencegahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Asisten Komisioner Mohd. Hedzir Hussin berkata, dalam operasi tersebut, sebanyak 30 wanita warga asing ditahan.
“24 wanita yang ditahan ialah warga negara Vietnam dan enam warga China yang kesemuanya berusia lingkungan 19 hingga 51 tahun.
“Turut ditahan ialah tujuh lelaki tempatan bersama tiga warga asing yang bekerja di lokasi tersebut,” katanya ketika ditemui selepas selesai operasi kira-kira pukul 3 pagi.
Menurut Mohd. Hedzir, turut ditahan ialah 77 warga tempatan dan 16 warga asing dipercayai pelanggan yang sedang menunggu giliran untuk mendapatkan khidmat seks dengan harga bermula RM80 hingga RM120.
Mengulas lanjut mengenai operasi tersebut, katanya, terdapat tiga lagi pelacur cuba bersembunyi di kawasan belebas yang sama dengan lokasi mangsa pertama yang terjatuh.
“Kesemua mereka enggan memberi kerjasama dan setelah melakukan rundingan, kita terpaksa mengambil keputusan untuk melepaskan mereka buat kali ini untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” ujarnya.
Mohd. Hedzir berkata, operasi malam itu turut dibantu sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah untuk menyelamat dan menahan tiga pelacur yang bersembunyi.
Tambahnya, pihaknya juga akan melakukan operasi susulan untuk membanteras kegiatan pelacuran di kawasan tersebut. – UTUSAN ONLINE











