CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah bekerjasama dengan lapan buah syarikat telekomunikasi untuk mengecualikan caj bagi panggilan ke talian Befrienders bermula 1 Ogos ini.
Syarikat telekomunikasi yang terlibat dalam kerjasama itu ialah Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn. Bhd., Maxis Berhad, Telekom Malaysia Berhad, TIME dotcom Berhad, U Mobile Sdn. Bhd., Webe Digital Sdn. Bhd. dan YTL Communications Sdn. Bhd.
Pengerusi SKMM Al-Ishsal Ishak berkata, ia merupakan sokongan kepada kerajaan untuk meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab masyarakat dalam menangani isu kesihatan dan kestabilan emosi dalam kalangan rakyat di negara ini.
Jelasnya, gejala membunuh diri boleh dicegah dan dibanteras dengan usaha kolektif daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk kerajaan dan pemain industri.
“Gejala membunuh diri merupakan satu tragedi di dalam setiap masyarakat baik daripada segi sosial, moral atau ekonomi. Antara langkah utama yang perlu diambil adalah dengan menghapuskan stigma dalam kalangan masyarakat terhadap penyakit mental dan gejala bunuh diri melalui akses kepada talian Befrienders yang kini percuma untuk mendapatkan khidmat nasihat, kaunseling dan bantuan emosi.
“Sewaktu kita maju bersama digitalisasi, satu usaha sama untuk memanfaatkan media sosial dan teknologi baharu dalam mengenal pasti mereka yang berisiko tinggi boleh diterokai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Befrienders merupakan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam dan setiap hari kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.
Mengulas lanjut, menurut Al-Ishsal, pengumuman itu dibuat tepat pada masanya dan ia selaras dengan saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang baru-baru ini menyeru bahawa tiada sesiapa yang dikecualikan dalam peralihan negara ke arah era digital.
Selain itu, jelasnya, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 yang dikeluarkan pada tahun lalu mendapati, satu daripada lima golongan dewasa berhadapan dengan kemurungan, dua daripada lima orang pula berasa bimbang, 11.2 peratus berniat untuk membunuh diri dan 10.1 peratus pernah cuba untuk membunuh diri.
Sehubungan dengan itu, pemanggil boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders melalui talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.
Butiran lanjut mengenai Befrienders di negeri-negeri lain boleh didapati di laman web www.befrienders.org.my. – K! ONLINE











