Sesiapa sahaja yang ingin menceburkan diri dalam pelaburan atau perdagangan saham perlu mempunyai akaun Central Depository System (CDS) atau akaun urus niaga saham di samping modal mencukupi atau bersesuaian dengan kemampuan.
Modal pelaburan ini pula merupakan wang yang bukan kegunaan harian atau wang dipinjam. Malah, modal ini juga diambil setelah membuat perkiraan perbelanjaan harian, tabungan atau simpanan serta wang kecemasan.
Selepas mempunyai dua perkara ini, barulah anda boleh memilih sama ada untuk menjadi pelabur atau pedagang saham atau kedua-duanya sekali.
Pelabur saham membuat pelaburan untuk jangka masa panjang sementara pedagang saham membuat transaksi beli dan jual saham untuk meraih keuntungan jangka pendek atau sederhana. Ia termasuk keuntungan harian dengan membeli saham secara aktif dan kerap memerhati pergerakan turun naik pasaran.
Setelah menetapkan matlamat, langkah seterusnya ialah dengan mencari dan mendalami ilmu perdagangan atau pelaburan saham.
Ilmu
Ilmu ini sebenarnya lebih kurang sama cuma sekiranya anda memilih untuk menjadi pedagang saham yang kerap keluar masuk pasaran, adalah lebih baik sekiranya anda mempunyai perisian carta saham yang boleh membantu untuk menyaring saham-saham berpotensi.
Sungguhpun begitu, kita masih lagi mendengar ramai pelabur dan pedagang saham yang kecundang atau berhenti separuh jalan sehingga ada yang meninggalkan dunia pelaburan kerana tidak dapat bertahan lama.
Dalam kata mudah, ramai yang mengalami kerugian sehingga mereka tidak lagi ingin meneruskan aktiviti pelaburan atau perdagangan saham dan akaun urus niaga saham mereka tidak aktif.
Oleh sebab inilah, Cikgu Saham ingin memberi panduan agar pelabur dan pedagang saham terus-menerus dapat bertahan dan kekal membuat keuntungan sampai bila-bila. Di samping itu, ia dapat mengelakkan kerugian atau mengurangkan risiko kerugian sekiranya ada.
Kita tidak dapat mengelakkan kerugian kerana banyak faktor di luar kawalan boleh menyebabkan seseorang itu mengalami kerugian di dalam pelaburan mahupun dagangan saham.
Pelabur dan pedagang saham harus membuat pembelian saham menggunakan modal sedia ada dan tidak membeli saham melebihi modal sedia ada lebih-lebih lagi pelabur dan pedagang baharu yang kurang pengalaman atau baru menceburkan diri dalam dunia pelaburan saham.
Setelah membeli saham, pelabur perlu menunggu sehingga harga saham itu naik untuk membuat keputusan jual.
Kurang sabar
Ramai pelabur yang kurang sabar setelah membeli saham. Ada yang resah gelisah walaupun baru memegang saham dibeli itu dalam tempoh beberapa hari atau minggu.
Pelabur dan pedagang hanya dibolehkan untuk membeli mana-mana saham syarikat tersenarai yang lain setelah menjual pegangan saham sedia ada. Jangan membuat pembelian tambahan sekiranya tiada satupun saham di dalam portfolio pelaburan dijual.
Tindakan ini untuk mengelak berlakunya kerugian besar semasa pasaran jatuh kerana pelabur mempunyai pegangan saham terlalu banyak di dalam portfolio, justeru, sukar untuk memantau satu persatu saham yang ada.
Pelabur hanya boleh membeli melebihi modal yang ada hanya ketika pasaran bullish dan dikelilingi pemangkin positif.
Jika ingin mengehadkan kerugian saham yang sedang jatuh, pelabur boleh menjual ketika harga saham sedang dalam trend menaik atau jual hanya setakat mengalami kerugian kadar pembrokeran.
Jangan jual saham ketika harga saham sedang menurun dengan banyak kerana ditakuti ia merupakan fasa penurunan terakhir dan bakal berubah ke aliran menaik.
Trend
Sebelum menjual mengikut trend dan carta saham, pelabur perlu membuat semakan ke atas carta pergerakan saham dan tidak menjual disebabkan emosi atau tekanan perasaan.
Penjualan saham dibuat setelah mengambil kira faktor-faktor persekitaran dan isu-isu semasa.
Pelabur juga perlu membuat sedikit pembacaan dan mencari sumber maklumat sesuatu saham syarikat tersenarai sebelum mengambil keputusan melepaskan pegangan saham yang dirasakan tidak berbaloi untuk disimpan.
Sentiasa bertanya pakar-pakar profesional dan bertauliah sekiranya mempunyai kemusykilan dan ketidakpastian. Rujuk kepada saluran yang betul seperti syarikat broker saham, bank pelaburan, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia.
Seminar Pasaran Modal Utusan akan diadakan pada 28 Julai 2019. Sila hubungi talian 010-836 0826 atau 013-310 8156 untuk mendaftar.











