KUALA LUMPUR 25 Julai – Pakej ansuran rendah serta tempoh bayaran yang singkat dipercayai menjadi taktik terbaharu sindiket menyeludup masuk kereta klon dari negara seberang bagi mengumpan mangsa.
Modus operandi itu didakwa giat diiklan serta dijalankan di seluruh negara selain menyasarkan pelanggan daripada media sosial terutamanya laman Facebook dan platform jual beli barangan popular.
Sindiket berkenaan dikesan mula menawarkan pakej istimewa iaitu menjual kereta sekerap mewah Singapura secara ansur-ansur (ansuran) berbeza dengan cara sebelumnya yang memerlukan pelanggan membuat bayaran penuh (cash) sebelum memilikinya.
Menerusi perbualan wartawan Utusan Malaysia dengan salah seorang ejen sindiket kereta klon itu melalui aplikasi Whatsapps mendedahkan wujud pakej sewaan bulanan serendah RM300 dalam tempoh tidak melebihi empat tahun (mengikut jenis kereta).
‘‘Kita ada dua pakej sama ada membuat pembayaran penuh (full payment) atau melalui cara sewa bulanan rendah serta mampu milik dalam tempoh 36 bulan (tiga tahun).
‘‘You mahu Honda Jazz? Kita ada Honda Jazz Fit 1.3G Automatik tahun 2009. Kita kasi murah-murah saja, RM11,500 dan you bayar bulan-bulan RM330,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Ejen itu mendedahkan pihaknya mempunyai melebihi 100 jenis kereta termasuk kereta mewah antaranya jenis Mercedes-Benz, BMW, Honda, Toyota, Nissan dan sebagainya.
‘‘Jika you berminat, you kena ikut beberapa syarat yang ditetapkan. You beritahu atau Whatsapps kita jenis kereta, bajet, pakej dan baharu kita kasi gambar kereta,’’ katanya.
Lebih mengelirukan, di akhir perbualan, ejen terbabit turut meminta wartawan yang menyamar sebagai pelanggan menyediakan wang pendahuluan hampir RM1,000 (tiga bulan) bersama-sama salinan MyKad, lesen memandu serta beberapa bil lain.
‘‘Ini kereta sekerap Singapura..(nada tegas). You kena buat payment (bayaran) dulu baru kita cari owner (pemilik asal), daftar, ‘kawtim’ pihak berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) sana dan baharu runner kita hantar kepada you.
‘‘Settle (selesai) semua tu, kita akan uruskan dokumen lengkap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), cukai jalan percuma, jaminan (enam bulan) serta nombor plat,’’ ujarnya. – UTUSAN ONLINE











