KUALA LUMPUR – Kapten Perak, Shahrul Saad menegaskan, dia dan rakan sepasukannya tidak akan menjadikan keadaan permukaan padang sebagai alasan, jika mereka gagal mempamerkan aksi terbaik menentang Kedah dalam aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
Ketika ini, keadaan cuaca tidak menentu dan sekiranya hujan membasahi venue perlawanan, esok pastinya keadaan padang berada pada tahap kurang memuaskan dan boleh menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan.
“Di Ipoh, Perak boleh dikatakan hari-hari hujan, tetapi di sini saya tidak tahu pula macam mana. Kalau hujan esok memang akan memberi masalah terutamanya keadaan padang, bagaimanapun, sebagai pemain saya tidak boleh menjadikannya alasan.
“Saya akan beri apa yang saya ada untuk final esok, usaha selagi mampu dan meletakkan maruah pasukan dalam diri saya kerana matlamat kami datang ke sini adalah untuk membawa pulang Piala FA,” katanya kepada pemberita di Bukit Jalil, hari ini.
Pemain berusia 26 tahun itu pernah menjuarai Piala Malaysia pada tahun lalu, sekali gus menamatkan kemarau 18 tahun dan kali ini, Shahrul tekad untuk memastikan Perak menjulang Piala FA selepas kali terakhir memenanginya pada 2004.
“Ini adalah pencapaian terbaik saya setakat ini apabila beraksi pada final bersama Perak buat kali kedua secara peribadi. Saya harap dapat menjulang Piala FA selepas perlawanan esok,” kata pemain pertahanan itu.
Mengakui Perak kerap dibolosi dalam lima perlawanan terakhir yang menyaksikan 10 gol terhasil, pemain berusia 26 tahun itu berharap, benteng pertahanan Perak akan beraksi dengan cemerlang, esok bagi menghalang asakan Lang Merah. – UTUSAN ONLINE











