LONDON – Bintang Arsenal, Mesut Ozil dan Sead Kolasinac berdepan detik cemas apabila mereka diserang dua perompak yang cuba merampas kenderaan dinaiki mereka di utara London.
Ozil, pemain tengah yang menerima bayaran 350,000 pound (RM1.7 juta) seminggu diserang ketika dia memandu kereta Mercedes model G-Class di Childs Hill sekitar pukul 5 petang semalam.
Bagaimanapun, ketika perompak itu mengelilingi kenderaan tersebut, Kolasinac tidak berfikir panjang apabila berani keluar dari kenderaan untuk berdepan dengan individu memakai topi keledar yang cuba memberhentikan kereta mereka.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menyaksikan kedua-dua penyerang tersebut telah mengacukan pisau terhadap Kolasinac ketika mereka cuba meninggalkan restoran Turki, Likya.
Menurut saksi, Ozil kelihatan berada dalam ketakutan ketika pelayan dan chef masing-masing cuba memberi bantuan kepada pemain berusia 30 tahun itu.
Seorang saksi yang dikenali Azuka Alinta, 36, berkata;’Ozil berada dalam ketakutan ketika semua orang cuba mengejar lelaki berpisau itu. Dia (Ozil) cuba lari menyelamatkan diri dan saya fikir dia memang patut berbuat sedemikian.
“Saya nampak dia memasuki restoran itu dengan dua lelaki tersebut mengikutinya. Mereka tidak menanggalkan topi keledar dan memakai pakaian semua hitam dan menunggu di luar.
“Hanya tuhan sahaja yang tahu apa akan berlaku jika mereka berjaya menangkap dia. Sebaik sahaja pekerja restoran itu meluru ke tingkap dan pintu masuk, mereka berpusing dan berlalu pergi,” katanya.
Dalam pada itu, jurucakap Arsenal mengesahkan mengenai kejadian tersebut dan telah pun menghubungi kedua-dua pemain itu dan mereka berada dalam keadaan baik. – AGENSI











