Orang Asli Kuala Koh: Rindu ahli keluarga terubat - Utusan Malaysia

Orang Asli Kuala Koh: Rindu ahli keluarga terubat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Kerinduan Orang Asli suku Bateq kepada ahli keluarga masing-masing terubat apabila mereka dibenarkan pulang ke Kampung Kuala Koh, Pos Lebir, di sini hari ini.

Tinjauan di perkampungan itu mendapati terdapat keluarga yang lebih dua bulan tidak berjumpa selepas krisis kesihatan melanda kampung itu sejak awal Mei lalu.

Seorang penduduk Orang Asli, Dollah Pin, 35, berkata, dia bersama tiga anak gembira dibenarkan pulang selepas lebih sebulan dikuarantin di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani Gua Musang. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, sepanjang tinggal di pusat itu mereka telah diberi rawatan kesihatan dan diberi makan secukupnya.

“Kami begitu rindukan ahli keluarga dan tidak sabar untuk menjalani kehidupan bersama selepas ini.

“Sepanjang tinggal di PPS kami diajar tentang cara kebersihan diri dan kami akan cuba mengamalkannya bersama ahli keluarga lain,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi ibu Orang Asli, Ella Alpin, 35, pula berkata, dia mempunyai enam anak berumur antara satu hingga 15 tahun telah tinggal di PPS Etnobotani sejak lebih sebulan lalu. 
    
Katanya, kebanyakan penduduk lain bersemangat untuk pulang selepas mereka bebas daripada jangkitan penyakit.

“Kami sudah lama tinggalkan kampung sehingga rumah terbiar kosong.

“Selepas ini kami akan meneruskan rutin harian seperti mencari sumber makanan di dalam hutan,” katanya. 

Pada hari ini, seramai 173 penduduk Orang Asli suku kaum Bateq yang dikuarantin di PPS Etnobotani selama 36 hari selamat pulang ke kampung halaman mereka di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir, di sini hari ini.

Proses menghantar mereka pulang bemula pukul 1 petang ini dan tiba di kampung pukul 2.30 petang membabitkan konvoi lapan lori dan enam kenderaan pacuan empat roda yang turut diiringi anggota peronda polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini