KLANG 25 Julai-Siapa perlu dipersalahkan dalam isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di media sosial sejak kebelakangan ini.
Menurut Pengerusi 99 Kebajikan Insan (Kesan), Muhd.Ali Zakariah, kes terbaru melibatkan pemegang akaun bernama Wendy Loong sepatutnya membuka mata pihak berkuasa untuk lebih tegas menangani kes sedemikian.
“Saya bersama ahli 99 Kesan berasa amat marah dan kecewa kerana Nabi Muhammad SAW digambar begitu rupa.
“Saya melihat kes sebegini memerlukan Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara untuk mengadakan sidang tergempar agar kes biadap ini diperdebatkan dalam usul yang sesuai dibawa oleh wakil rakyat beragama Islam,”katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai individu tersebut yang menghina agama Islam dan Nabi Muhamad melalui posting yang dimuat naik di laman Facebook ‘Kiub Batu Itu Berhala’.
Muhd.Ali berkata, Islam adalah cara hidup, mengapa penghina-penghina agama Islam ini menganggap seks adalah satu-satunya yang kita amalkan.
“Adakah dengan menggambarkan imej jelik tersebut kita akan menerima aktiviti persundalan antara sama jantina di negara ini.
“Saya berharap pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dalang di sebalik penyebaran imej menjijikkan itu. Laporan pun sudah banyak dibuat,”katanya.
Beliau menambah, sebaiknya kes penghina agama Islam dikenakan hukuman lebih berat kerana ia mampu mencetuskan persengketaan dalam masyarakat. – UTUSAN ONLINE











