BUTTERWORTH 23 Julai – Satu perhimpunan aman bagi membantah projek tambak laut yang akan dijalankan di sepanjang pesisir pantai Bagan Ajam hingga ke Telok Ayer Tawar diadakan di Pantai Bersih di sini hari ini untuk mendesak kerajaan negeri membatalkan projek berkenaan.
Bantahan yang dihadiri lebih 200 ahli Persatuan Nelayan Seberang Perai dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Sahabat Alam Malaysia (SAM) diadakan memandangkan nelayan bimbang kesan penambakan laut di sekitar Bagan Ajam itu akan menjejaskan sumber hidupan marin dan ekosistem laut.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Seberang Perai, Mahadi Md. Rodzi berkata, projek tambak laut seluas 650 hektar itu merupakan susulan daripada projek Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) yang dijalankan di kawasan Seberang Perai sejak 1990-an dan difahamkan projek mega di kawasan yang bakal ditambak itu akan dimulakan tidak lama lagi.

“Terdapat beberapa projek mega lain yang dirancang di atas tapak tambak laut ini seperti projek terowong dasar laut yang menghubungkan Bagan Ajam dan Persiaran Gurney di bahagian pulau serta projek pembangunan mega lain.
“Nelayan di kawasan Tanjung Tokong telah menerima kesan daripada projek tambakan laut yang sedang giat dijalankan pada masa ini, tidak mustahil nelayan di sekitar Seberang Perai juga akan menerima impaknya selepas projek di sini dimulakan nanti,” katanya ketika ditemui di Pantai Bersih di sini hari ini.
Menurut Mahadi kawasan laut di Bagan Ajam satu ketika dahulu merupakan kawasan pembenihan semula jadi ikan kembung namun akibat daripada projek tambakan laut kawanan ikan kembung semakin hilang dari perairan Bagan Ajam.
“Kesan daripada tambak laut ini tidak hanya tertumpu kepada satu kawasan sahaja kerana ia boleh mengakibatkan kepupusan sumber sehingga ke Bagan Ajam dan kawasan lain.
“Ekosistem laut yang rosak tidak dapat diperbaiki lagi, jadi kami mendesak kerajaan negeri membatalkan projek tambak laut yang sedang dirancang di negeri ini terutama melibatkan kawasan Bagan Ajam.
“Kami juga telah menyerahkan memorandum bantahan projek tambak laut ini kepada kerajaan negeri dan berharap bantahan ini akan didengari,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Ayer Tawar, Mustafa Kamal Ahmad berkata, beliau akan menyerahkan memorandum bantahan nelayan Seberang Perai itu kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Bantahan nelayan mengenai projek tambak laut ini akan diambil perhatian malah ia akan dibawa berbincang dengan Anwar yang akan dijadualkan bertemu wakil kerajaan negeri ini pada Khamis ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











