Nasihat kepada bakal haji, hajah - Utusan Malaysia

Nasihat kepada bakal haji, hajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMAT menunaikan fardu haji kepada kira-kira 30,200 jemaah haji Malaysia bagi musim haji 1440 hijrah ini.

Bagi yang tiba ke Kota Madinah al-Munawwarah dengan penerbangan awal diharap tidak melepaskan peluang untuk melaksanakan apa sahaja aktiviti ibadah yang terdaya. Walaupun kemungkinan Hari wukuf masih lama, tetamu Allah di nasihatkan agar mengambil kesempatan untuk menziarahi makam Nabi Muhammad SAW yang tercinta sambil memohon agar beroleh syafaat al-kubra darinya. Kemungkinan juga kawasan al-Raudah masih lengang sehingga membolehkan para jemaah solat sunat dan berdoa sepuas-puasnya.

Selain itu lapangkan juga masa untuk berziarah ke perkuburan Baqi kerana di sana bersemadinya putera dan puteri Nabi, beberapa orang isterinya dan sahabat-sahabat besar yang mulia. Ambillah juga kesempatan untuk berziarah ke tempat-tempat bersejarah di sekitar Kota Madinah sambil mengimbau sirah perjuangan Nabi SAW dan para sahabat yang mulia. Malah antara yang sangat dituntut ketika di Madinah ialah pergi ke Masjid Quba setiap pagi bagi mengikuti sunah Nabi SAW.

Memuatkan artikel berkaitan…

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa telah bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya, dengan sebaik-baik wuduk, kemudian mendatangi Masjid Quba’ lalu solat di dalamnya dua rakaat, maka baginya sama dengan pahala umrah. (Riwayat Ibn Majah]

Lebih daripada itu, janganlah pula ada yang menghabiskan masa dengan hanya berehat-rehat di hotel penginapan dan tidak berlumba-lumba melakukan kebajikan. Boleh jadi golongan seperti ini bakal terlepas ganjaran pahala 100,000 ganda bagi apa sahaja amalan yang dilakukan di Haram Mekah dan 1000 ganda ketika di Madinah. Malah lebih mendukacitakan apabila kemungkinan terlepas kemuliaan beroleh ganjaran haji yang mabrur kerana tidak komited beribadah sambil mengharap pengampunan dari Nya.

Selamat menjalankan tugas menyantuni para duyufurrahman juga diucapkan kepada kesemua 640 orang petugas Tabung Haji yang terdiri daripada 380 orang petugas kebajikan manakala bakinya seramai 260 orang pegawai perubatan. 

Janganlah pula ada yang mengambil kesempatan berbuat dosa dan maksiat ketika di Tanah Suci. Ataupun melakukan perkara-perkara khurafat sambil berharap kelebihan-kelebi­h­an tertentu.

Hal ini boleh jadi membawa kepada perlakuan syirik sekali gus menyebabkan pelakunya terdedah kepada dosa dan maksiat selain hajinya ditolak.

Kemungkinan ada yang percaya dengan mengambil kerak nasi di Mina dan dibawa pulang ke tanah air boleh menjadi pelaris kepada perniagaan.

Atau mencuri tali khemah di Arafah dan menanam duit bagi dijadikan ibu duit. Lebih mengelirukan apabila ada yang mengabaikan solat lima waktu walaupun sedang berada Tanah Haram.

Tetamu Allah juga dinasihatkan agar menghadiri kuliah-kuliah agama yang dianjurkan oleh guru pembimbing Haji di Mekah dan Madinah yang biasanya diadakan di maktab masing-masing. Ini sudah tentu dapat memantapkan pengetahuan jemaah yang kemungkinan baharu kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini