Nak tunai haji? Ikutlah giliran... - Utusan Malaysia

Nak tunai haji? Ikutlah giliran…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM laporan akhbar semalam, terpapar kisah sepasang suami isteri yang sedang mengembara menggunakan kenderaan mereka dikenali sebagi ‘unta kurus’ merayu agar dibenarkan memasuki Arab Saudi.

Mereka yang memulakan perjalanan pengembaraan menjelajah rantau Asia, Afrika dan Eropah sejak 2 Mei lepas, kini sedang berada di Bandar Abbas, Iran merancang untuk turut menunaikan ibadat haji dengan meminta bantuan kerajaan Malaysia atau Tabung Haji mendapatkan visa haji.

Bagaimanapun, hasrat pasangan pesara itu menghadapi masalah kerana seperti yang semua kita ketahui, urusan permohonan visa haji bukanlah satu perkara mudah kerana ia mempunyai peraturan tertentu yang perlu diikuti.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menggunakan alasan mereka kini telah berada berhampiran Arab Saudi dan pernah mendaftar haji dengan Tabung Haji enam tahun lalu bukanlah alasan yang terbaik untuk mereka diberikan keistimewaan atau pengecualian.

Tabung Haji dalam satu kenyataan menyatakan orang ramai yang berhasrat menunaikan fardu haji perlu mengikut prosedur permohonan visa haji melalui saluran yang betul.

Sudah tentu, mereka tertakluk kepada giliran mengikut tahun pendaftaran haji dan permohonan – yang kemudiannya kelulusan serta pengeluaran visa haji pula perlu diperoleh melalui Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

Banyak perkara perlu dilakukan dalam permohonan tersebut seperti melengkapkan data-data seperti perjanjian perumahan di Madinah dan Makkah; perjanjian pengangkutan pergi dan balik dari negara asal; perjanjian sajian makanan serta perjanjian bersama Muassasah.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata, Tabung Haji sentiasa mematuhi prosedur permohonan visa haji ditetapkan kerajaan Arab Saudi dan permohonan luar daripada prosedur boleh menjejaskan hubungan baik dua negara.

“Kelulusan visa haji adalah hak mutlak kerajaan Arab Saudi. Walaupun ada kemampuan kewangan, umat Islam perlu faham bahawa kewajipan haji merangkumi penggiliran dalam kuota haji, kesihatan dan keselamatan sepanjang perjalanan,” katanya.

Bagi pasangan itu pula, mereka sudah tentu maklum mengenai perkara tersebut dan cubaan mendapatkan visa haji menggunakan platform media mungkin agak kurang sesuai.

Jika berjaya, kita mungkin gembira dan bersyukur bagi pihak mereka tetapi hakikatnya, masih ramai rakyat Malaysia yang menanti giliran untuk menunaikan rukun Islam kelima tersebut walaupun ada yang telah memohon 10 tahun lepas.

Jika tidak berjaya pula, pasangan yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi itu sudah tentu memahami konsep haji yang berkait rapat dengan ‘Dhuyufurrahman’ atau Tetamu Allah, yang kita mesti dijemput olehNya sebelum dapat menunaikan ibadat itu.

Kita juga tidak mahu melihat selepas ini, setiap kali musim haji tiba, berderetan rakyat Malaysia beratur di sempadan Arab Saudi menaiki pelbagai jenis kenderaan termasuk unta, gajah atau keldai, hanya semata-mata ingin mendapatkan visa haji ‘ekspres.’ – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini