MPKB-BRI jangan buat rakyat meluat - Utusan Malaysia

MPKB-BRI jangan buat rakyat meluat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 22 Julai – Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) menggesa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) supaya menilai semula tindakan mengunci tayar kenderaan pemilik kerana dikhuatiri melanggar peruntukan dalam undang-undang.

 Yang Dipertua PPIK, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata, pendedahan seorang peguam bahawa MPKB-BRI tidak berhak mengapit tayar pengguna kecuali dalam keadaan tertentu seharusnya menyedarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut tindakan mereka selama ini yang menyebabkan rakyat semakin tidak puas hati dan meluat.

Memuatkan artikel berkaitan…

 Beliau berkata, walaupun MPKB-BRI telah menyerahkan sepenuhnya pengurusan sistem letak kereta di bandar ini kepada sebuah syarikat swasta namun mereka tidak boleh berlepas tangan dengan aduan rakyat sebaliknya perlu memantau syarikat tersebut.

 “MPKB-BRI kena tengok semula dengan teliti peruntukan dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kita meragui apa yang mereka buat selama ini iaitu mengunci tayar kenderaan pemilik yang tidak membayar caj atau mempunyai saman tertunggak sebenarnya melangkaui kuasa yang ada.

 “Pihak kami menerima banyak aduan daripada masyarakat yang semakin tidak puas hati dengan MPKB-BRI yang membiarkan tindakan tidak bertimbang rasa oleh syarikat swasta yang telah dilantik.

 “Sudah ternyata matlamat syarikat itu adalah untuk mencari duit, mereka mengunci tayar kenderaan tanpa mempedulikan masalah yang dihadapi pengguna, apa yang mereka mahu hanya duit denda sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 Beliau diminta mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini yang menyiarkan pandangan seorang peguam, Majdah Muhamad yang mendakwa MPKB-BRI tidak berhak untuk mengunci tayar kenderaan sama ada di dalam atau luar kotak disediakan walaupun pemiliknya tidak membayar caj dikenakan atau mempunyai saman tertunggak.

 Majdah dilaporkan berkata, dari segi perundangan, kriteria untuk mengunci tayar kenderaan perlu dirujuk pada Akta Pengangkutan Jalan 1987 Seksyen 48, 64, 65 dan 66(1) (rr) di mana ia hendaklah dibaca bersama-sama dengan kaedah-kaedah pengangkutan jalan (fi bagi pengapitan, pengalihan dan penahanan kenderaan motor) 2012.

 Beliau berkata, hanya dalam tiga keadaan boleh dikunci tayar iaitu gangguan kepada laluam trafik, kuasa untuk sita kereta dan kenderaan ditinggalkan begitu sahaja.

 Sementara itu, Mohd Fared mengingatkan MPKB-BRI bahawa alasan mahu mendidik masyarakat melalui penguatkuasaan yang melampau adalah tidak kena kerana banyak lagi cara lain boleh digunakan.

 Malah, katanya, penguatkuasaan sistem letak kereta yang terlalu tegas juga boleh menjejaskan minat pelancong ke negeri ini.

 “Kita pernah terima aduan dan membantu pelancong membayar denda setelah keretanya dikunci tayar kerana meletak kereta di tempat letak kenderaan melebihi tempoh masa walaupun pada awalnya sudah membayar caj akibat asyik membeli belah di Bazar Tok Guru.

 “Kita akui ada sesetengah pengguna yang tidak bermoral yang meletak kenderaan sesuka hati tetapi pendidikan masih boleh dilakukan dengan pelbagai cara lain seperti wacana, dialog dan sebagainya.

 “Kes pengguna mencabut alat pengapit tayar lama kelamaan tidak akan lagi menjadi kes terpencil jika MPKB-BRI masih dengan sikap seperti sekarang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini