KUALA LUMPUR 27 Julai – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) buat julung kali akan menganjurkan Ekspo Buku Petaling Jaya (PJBX) 2019.
MBPJ dalam satu kenyataan di sini berkata, PJBX 2019 akan berlangsung selama enam hari mulai 30 Julai ini hingga 4 Ogos 2019 di Dewan D’Kelana, Kompleks Sukan Kelana Jaya, Selangor.
“Expo ini akan dibuka mulai pukul 10 pagi hingga 9 malam (Selasa hingga Khamis, Ahad) , manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan sehingga pukul 12 tengah malam.
“Penganjuran PJBX ini bertujuan menarik minat serta menyemai budaya membaca dalam kalangan penduduk Petaling Jaya selain memberi peluang kepada penerbit buku terutama ahli MABOPA untuk menampilkan buku-buku terbitan dengan harga promosi yang menarik,” katanya.
Menurut kenyataan itu, penganjuran PJBX 2019 turut dipenuhi pengisian acara dan aktiviti menarik seperti persembahan dialog, perbincangan dan aktiviti pembelajaran.
“Program ini adalah selaras dengan aspirasi Petaling Jaya yang dianugerahkan sebagai Bandar Pembelajaran 2019 oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains Dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Anugerah ini diberikan atas pelbagai pencapaian cemerlang dan inisiatif yang telah diusahakan oleh MBPJ khususnya di dalam bidang pendidikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











