BACHOK 26 Julai – Program Motivasi Bersama Ustaz Ebit Lew di Masjid al-Abrar, mukim Pauh Sembilan, di sini hari ini membangkitkan keinsafan kira-kira 500 peserta terdiri daripada murid dan ibu bapa masing-masing.
Malah, rata-rata mereka dilihat sebak dan mengalirkan air mata di samping berazam mahu mengubah cara hidup demi mencapai kejayaan dunia dan akhirat.
Program anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh Sembilan dan Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita al-Abrar itu diadakan selama empat jam dengan fokus kepada muhasabah diri.
Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Azman Abdul Kadir berkata, program itu melibatkan 250 murid yang ditemani ibu atau bapa masing-masing .

“Tempoh empat jam memberi ruang yang luas kepada pendakwah berkolaboratif dengan peserta.
“Program yang dilaksanakan di masjid ini akan memupuk budaya mengimarahkan masjid dalam kalangan anak muda,” katanya ketika ditemui ketika program tersebut di Masjid al-Abrar hari ini.
Yang turut hadir, Imam masjid al-Abrar, Mohd. Yuzakky Mohd. Yusoff.

Sementara itu, Mohd. Yuzakky berkata, pengurusan masjid telah merancang satu program integrasi memilih sekolah-sekolah sekitar sebagai anak angkat masjid berkenaan.
“Program tersebut akan dimulakan dalam masa terdekat,” katanya.- UTUSAN ONLINE











