PETALING JAYA 23 Julai – Nilai eksport aeroangkasa dijangka meningkat 15 peratus tahun ini daripada RM8.48 bilion tahun lepas, disokong oleh peningkatan tempahan sedia ada dan produk baharu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking.
Beliau berkata, kerajaan berhasrat untuk terus membangunkan teknologi untuk aeroangkasa, serta keupayaan modal insan yang akan menyokong pertumbuhan dalam industri tersebut,
“Kami berharap dapat mengatasi rekod tahun lepas, namun akan ada cabaran selari fenomena fenomena (aeroangkasa).
“Saya percaya apabila kita meneruskan dasar dan kehadiran syarikat-syarikat besar di Malaysia seperti Spirit AeroSystem Malaysia dan CTRM Aero Composites, kita akan dapat meningkatkan, atau sekurang-kurangnya mengekalkan nilai eksport,” katanya kepada pemberita selepas melawat Spirit AeroSystem di Subang dekat sini hari ini.
Darell berkata subsektor pembuatan aeroangkasa tempatan mencatatkan pertumbuhan positif sejak pelaksanaan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.
Ketika ini, subsektor pembuatan aeroangkasa menyumbang RM6.97 bilion atau 48 peratus daripada jumlah hasil industri aeroangkasa Malaysia.
Ia adalah nilai tertinggi dicatatkan oleh subsektor pembuatan aeroangkasa, peningkatan sebanyak 8.3 peratus berbanding 2017.
Pertumbuhan positif menyumbang secara langsung kepada kenaikan 20.7 peratus dalam nilai eksport aeroangkasa sebanyak RM8.48 bilion pada 2018 daripada 2017.
Dari segi pelaburan, 11 projek aeroangkasa dengan jumlah pelaburan sebanyak RM816.3 juta diluluskan pada 2018, 41 peratus daripadanya merupakan pelaburan asing.
Projek-projek yang diluluskan itu, yang sedang dilaksanakan dan dipantau oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dijangkakan mewujudkan sebanyak 2,442 pekerjaan.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Azman Mahmud berkata agensi itu menyasarkan untuk menarik lebih banyak pemain aeroangkasa asing, terutama dalam kategori Tahap -1 dan Tahap -2, untuk melabur dan beroperasi di Malaysia.
MIDA sedang berunding dengan beberapa syarikat, kebanyakannya dari Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah, kata Azman. – BERNAMA











