Mira Filzah diganggu mesej dan komen lucah - Utusan Malaysia

Mira Filzah diganggu mesej dan komen lucah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pelakon Mira Filzah berang apabila diganggu komen dan mesej berbaur lucah pada platform media sosial peribadinya.

Mira Filzah atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 26, berkata, dia terpaksa mengambil tindakan menyekat individu yang menghantar mesej dan komen sedemikian, selain memadam komen berunsur lucah.

Menurut Mira, dia boleh bersabar sekiranya fizikal dan lakonannya dikecam, tetapi enggan bertoleransi dengan komen serta mesej lucah.

“Saya boleh terima jika ada netizen yang menganggap muka saya seperti kayu, tetapi bukan menghantar mesej dan komen lucah.

“Pada kebiasaannya, saya akan terus padam komen sebegitu, jika ia melibatkan mesej, saya akan menyekat individu tersebut,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pelakon Lelaki Kiriman Tuhan itu berkata, dia bagaimanapun tidak pernah bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang kerana komen berunsur lucah tersebut tidak mengganggu kerjaya.

“Setakat ini saya belum bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap komen sedemikian. Apabila terlalu melampau, mungkin saya akan ambil tindakan selanjutnya,” katanya lagi.

Tambah Mira, walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai pelakon dan duta pelbagai produk, dia secara peribadi menguruskan akaun media sosialnya sendiri.

Katanya, media sosial adalah kaedah terbaik baginya untuk sentiasa mendekati peminat.

“Saya perlu aktif dalam media sosial kerana mahu berhubung dengan semua peminat. Saya tidak pernah merancang untuk menjadi viral seperti ungkapan ‘baby sayang’.

“Ia terjadi secara tidak sengaja apabila dikongsi oleh peminat,” katanya. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN