Milak padam rekod berusia 10 tahun milik Phelps - Utusan Malaysia

Milak padam rekod berusia 10 tahun milik Phelps

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GWANGJU, Korea Selatan – Perenang remaja sensasi Hungary, Kristof Milak menjelaskan dia sangat berbangga kerana dapat mengatasi rekod dunia acara 200 meter (m) kuak kupu-kupu milik legenda Amerika Syarikat (AS), Michael Phelps di Kejuaraan Akuatik Dunia 2019 kelmarin.

Selepas gagal dalam percubaannya memecahkan rekod berusia 10 tahun itu sepanjang musim ini, Milak, 19, akhirnya berjaya melakukannya dengan menewaskan juara bertahan, Chad le Clos dari Afrika Selatan untuk menjadi perenang pertama melakukan catatan di bawah masa satu minit 51 saat (s) dalam acara tersebut.

Catatannya, 1:50.73s itu berjaya mengatasi rekod Phelps (1:51.51s) yang dilakukan pada Kejuaraan Dunia 2009 dan mendahului tiga saat ke atas pemenang pingat perak dari Jepun, Daiya Seto manakala Le Clos pula memenangi gangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apabila saya menoleh ke belakang untuk melihat catatan masa, semua tekanan dan bebanan sebelum ini seperti hilang daripada bahu saya. Hanya ada kegembiraan sahaja dalam diri saya.

“Sebelum turun ke kolam, saya tidak pernah terfikir untuk memecahkan rekod dunia ini. Saya hanya kosongkan fikiran saya, fokus kepada diri sendiri dan tidak hiraukan tentang perenang lain,” jelas Milak.

Milak juga memberitahu, dia masih lagi bersekolah ketika Phelps mencatat rekod 200m kuak kupu-kupu itu di Rom.

“Saya baharu berusia 9 tahun. Ketika itu saya amat mengagumi Phelps dan mula berminat tentang sukan renang ketika melihat aksinya di Sukan Olimpik London 2012,” jelasnya mengenai perenang AS tersebut yang menjadi atlet paling berjaya dalam sejarah Olimpik selepas memenangi 22 pingat emas.

Atlet remaja itu turut memberi amaran kepada pencabarnya bahawa dia akan tampil lebih bertenaga pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo tahun depan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini