ANTARA nikmat Allah SWT yang terbesar kepada umat manusia adalah kemerdekaan secara fizikal dan rohani. Tetapi malangnya, tidak semua negara atau bangsa bernasib baik dapat menikmati kedua-duanya.

Masih ada negara yang mendiami dunia ini semenjak dahulu hinggalah sekarang, tidak berhenti-henti berjuang untuk menikmati kemerdekaan itu.
Kehidupan mereka bukan hanya terbelenggu daripada segi pembangunan material, tetapi juga untuk beragama dan tunduk kepada Allah SWT dengan penuh ketenangan.
Atas sebab itulah, Islam memberi penekanan amat tinggi terhadap falsafah kemerdekaan yang tidak hanya memfokuskan kepada kemerdekaan tanah air tetapi juga jiwa dan pemikiran umat Islam itu sendiri.
Jiwa dan pemikiran umat Islam yang merdeka seharusnya berteraskan akidah yang diajar oleh agama supaya mereka mampu menghadapi cabaran serta dugaan masa kini seperti murtad, ajaran sesat, liberal budaya songsang dan banyak lagi.
Ini sejajar dengan firman Allah SWT maksudnya: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) di dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan,” (Al-Qasas: 77)
Dalam konteks Malaysia sendiri, usaha pengisian sedemikian amat penting bagi memperkasakan jiwa dan pemikiran manusia agar lebih dekat dengan Allah SWT.
Walaupun merdeka tanah air, tetapi cara pemikiran dan jiwa bangsanya masih berteraskan penjajah sama ada daripada segi politik, ekonomi dan sosial.
Dengan itu, kita masih belum dianggap merdeka kerana pemikiran dan jiwa sedemikian tidak akan membolehkan kita menikmati kebahagiaan di dunia serta akhirat.











