MELAKA 25 Julai – Kerajaan negeri tidak akan menghalang aktiviti ceramah pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin walaupun kemunculannya di sebuah masjid di Melaka baru-baru ini mencetuskan kekecohan apabila dibantah sekumpulan individu.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pihaknya mengamalkan dasar terbuka iaitu mana-mana penceramah yang memenuhi syarat-syarat ditetapkan Jabatan Mufti Negeri boleh mengadakan ceramah walaupun individu itu tidak berpihak kepada kerajaan.
Katanya, kekecohan yang berlaku ketika program membabtikan penceramah itu tempoh hari didakwa berpunca daripada campur tangan politik sehingga menjejaskan imej institusi masjid.
“Wan Ji masih melalui proses mahkamah dan kerajaan negeri tidak akan menghalang kemasukan beliau atau mana-mana penceramah lain walaupun mereka tidak memihak kepada kerajaan.
“Bagaimanapun setiap penceramah yang masuk ke negeri itu mesti mendapat kebenaran dan sentiasa dipantau Jabatan Mufti Negeri dan jika kita dapati ada penyalahgunaan yang diberikan, kita berhak menghalang penceramah itu daripada mengadakan aktiviti,” katanya dalam sidang akhbar mesyuarat Exco kerajaan negeri di pejabatnya di Seri Negeri di sini pagi ini.
Pada Isnin lalu, keadaan di Masjid Ar Rahman Kampung Parit Melana di Durian Tunggal kecoh apabila sekumpulan individu membantah kehadiran Wan Ji untuk mengadakan ceramahnya.
Ceramah yang sepatutnya disampaikan pendakwah kontroversi selepas solat maghrib itu terpaksa ditunda ekoran bantahan dipercayai dianjurkan Gerakan Pembela Ummah Melaka.
Menurut Adly, langkah diambil kerajaan negeri itu bagi menjadikan Melaka sebuah negeri yang subur dalam pelbagai bidang termasuk ilmu dan pengetahuan.
“Kita tidak sekat majlis-majlis ilmu, kita mahu rakyat negeri ini mendapat ilmu pengetahuan tetapi apa yang berlaku adalah majlis itu dicemar dengan tindakan pihak yang cuba mengaitkannya dengan politik.
“Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, ramai penceramah dan ilmuan dari pelbagai ideologi menganjurkan majlis agama di Melaka,” jelasnya.
Dalam pada itu, Adly berkata, Melaka tidak pernah menyenaraihitam mana-mana penceramah dan ilmuan untuk masuk ke negeri itu bagi menganjurkan majlis ilmu dengan syarat mereka mematuhi peraturan ditetapkan. – UTUSAN ONLINE











