KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) menghadapi masalah pembayaran gaji pemain kerana kelewatan penaja menyelesaikan duit tajaan.
Timbalan Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mendakwa pihaknya tidak dapat membayar gaji pemain, yang dikatakan tertunggak hampir tiga bulan kerana wang tajaan yang dijanjikan pada Jun masih belum diterima.
“Melaka diterajui oleh kepimpinan baharu, masalahnya adalah apabila beberapa penaja kita yang lepas belum membuat bayaran dengan sepenuhnya. Kita jangka mereka bayar bulan Jun, tak bayar, jangka bulan Julai, tak bayar juga.
“Kita sebagai pengurusan, janji sebab jangkakan duit itu datang, tetapi penaja belum menunaikan janji tepat pada masa. Saya tak cakap mereka tak akan bayar, cuma tak tepat pada masa, itu yang menyukarkan sikit pengurusan sehingga berlaku sebegini,” katanya ketika ditemui pada aksi persahabatan skuad Bawah-18 kebangsaan menentang Selangor United di sini, hari ini.
Media, Sabtu lalu melaporkan bahawa pemain Melaka tidak menerima gaji hampir tiga bulan.
Menggulas lanjut, Yusoff berkata, pengurusan tertinggi pasukan sudah mengetahui masalah itu dan yakin langkah sewajarnya akan diambil supaya masalah tersebut tidak memberi kesan terhadap emosi pemain dengan saingan Piala Malaysia bakal membuka tirai 2 Ogos ini.
“Saya rasa Presiden (Adly Zahari) sendiri akan mengambil tindakan yang perlu bagi menyelesaikan masalah ini supaya ia tidak memberikan kesan kepada semangat pemain menjelang saingan Piala Malaysia nanti. Saya harap kita akan ada satu penyelesaian yang baik kerana saya rasa pasukan ini berpotensi untuk memberi cabaran dalam Piala Malaysia,” katanya.
Melaka diundi dalam Kumpulan D bersama juara 33 kali, Selangor, Felda United dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). – BERNAMA











