JOHOR BAHRU 27 Julai – Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal diselar kerana cuba menggelapkan fakta dan mengubah rekod untuk menunjukkan pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) berhubung pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, paparan dalam Facebook Dr. Sahruddin Jamal mengenai peratusan pencapaian KDNK negeri bukan sahaja memaparkan banyak statistik salah, malah menyeleweng dan tidak tepat.
Menurutnya, kenyataan Dr. Sahruddin bahawa pertumbuhan KDNK Johor pada tahun 2018 pada kadar 5.6 peratus berbanding yang dicatatkan pada tahun 2017 (5.2 peratus) yang disifatkan cuba menunjukkan PH Johor berjaya mengatasi rekod BN, adalah salah.
Tambahnya, Laporan Sosioekonomi Negeri 2018 diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan KDNK Johor pada tahun 2017 adalah 5.9 peratus dan pada 2018 pada kadar 5.6 peratus, ini bermakna pertumbuhan negeri pada tahun 2017 adalah lebih tinggi berbanding tahun lalu.
“Saya sedar keterdesakan YAB Menteri Besar Johor dalam menunjukkan prestasi PH Johor, malah sebagai anak Johor, saya sendiri akan berasa gembira dan senang jika prestasi ekonomi negeri meningkat dan berada dalam keadaan baik.
“Namun, memilih untuk menggelapkan fakta sebenar dan mengubah rekod semata-mata mahu menunjukkan dirinya baik bukanlah satu langkah yang jujur dan profesional, ingatlah bahawa angka tidak menipu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 25 Julai, Facebook Dr. Sahruddin Jamal memuat naik mengenai pencapaian KDNK Johor termasuk perbandingan pertumbuhan tahun 2018 (5.6 peratus) dan tahun 2017 (5.2 peratus), namun semakan pada semalam mendapati ia sudah ditukar dengan pencapaian KDNK Johor pada tahun 2017 dipadam dan digantikan kepada pencapaian KDNK negara.
Mohamed Khaled yang merupakan bekas Menteri Besar berkata, Dr. Sahruddin harus memberikan kepimpinan kepada seluruh kerajaan negeri bagi mencapai prestasi yang baik dan bukan menutup realiti dan membiarkan diri dikaburi oleh perasaan optimistik yang keterlaluan.
“Saya mendoakan supaya ekonomi Negeri Johor terus berkembang demi kebaikan untuk semua Bangsa Johor,” katanya. – UTUSAN ONLINE











