MB arah pontun tidak beroperasi dibawa keluar dari Sungai Selangor - Utusan Malaysia

MB arah pontun tidak beroperasi dibawa keluar dari Sungai Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR –  Semua pontun pengorekan dan penyedutan pasir yang tidak lagi beroperasi diarahkan dibawa keluar terutama di sekitar Sungai Selangor. 

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, beliau telah meminta Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan badan penguatkuasa negeri melaksanakannya agar tidak menanggung lagi risiko pada masa depan. 

“Kita tidak mahu pontun yang tidak lagi beroperasi dibiarkan begitu sahaja di tengah sungai sehingga akan mengakibatkan pengaliran minyak dan sebagainya. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini berikutan pencemaran kali kedua di Sungai Selangor adalah disebabkan minyak diesel dipercayai perbuatan sabotaj,” katanya pada sidang akhbar di LRA SSP2 di sini hari ini. 

Menurut beliau, kejadian tersebut berlaku kira-kira enam kilometer (km) dari LRA SSP2 yang dikesan berlaku kira-kira pukul 6 petang semalam. 

Amirudin memberitahu, berdasarkan semakan daripada kontraktor milik Kumpulan Semesta Sdn. Bhd mendapati pontun itu tidak lagi beroperasi dua bulan lalu selepas memulakan operasi mereka sejak 2013 dan mempunyai lesen pengorekan dan penyedutan pasir. 

“Pontun itu mungkin tidak digunakan selepas pasir tiada atau telah sampai had pengorekan dan penyedutan pasir di kawasan tersebut. 

“Minyak diesel yang mengalir keluar itu telah mengakibatkan pencemaran bau sehingga memaksa LRA terpaksa dihenti tugas apabila berjaya mencapai agihan 97 peratus selepas proses pemulihan pencemaran kali pertama (di Batang Kali, Hulu Selangor),” katanya. 

Jelas beliau, keempat-empat loji iaitu LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, LRA SSP2, LRA SSP3) telah kembali beroperasi kira-kira pukul 3 pagi tadi. 

“Kit menjangkakan agihan bekalan air akan bermula pukul 6 pagi hingga 6 petang esok selepas kolam takungan penuh,” katanya. 

Dalam pada itu, Amirudin meminta orang ramai tidak boleh meletakkan kesemua kesalahan di bawah Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) semata-mata apabila berlaku kejadian sebegini. 

“Ramai menyalahkan Air Selangor secara keseluruhan. Air Selangor memproses air dan mengagihkan manakala pemantauan air sungai dilakukan LUAS dan JPS. 

“Setiap air yang masuk di muka sauk mempunyai sistem pengesanan (bagi mengesan segala pencemaran). Kalau tiada pengesanan di peringkat awal, sudah lama air tercemar masuk kawasan perumahan dan kita terpaksa cuci loji kita,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini