Maut digilis kenderaan ditunda - Utusan Malaysia

Maut digilis kenderaan ditunda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 23 Julai – Malang bagi seorang buruh ladang kelapa sawit yang menemui ajal akibat digilis sebuah kenderaan pacuan empat roda yang ditundanya dalam kejadian di Ladang Kelapa Sawit Cottage Roma dekat sini semalam.

A. Pathmanathan, 33, ditemukan terbaring di bawah kenderaan jenis Mazda Fighter dengan kesan kecederaan di kepala dan anggota badan oleh seorang rakan sekerjanya, dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi.

Ketua Zon Dua, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azman Alias ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pukul 1.43 petang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, sebuah jentera bersama sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Cheneh Baru bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan mengenai kejadian tersebut.

Katanya, ketika kejadian, mangsa dikatakan menunda dengan menggunakan kabel kenderaan tersebut dengan menaiki sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Hilux.

“Sebaik tiba di satu kawasan cerun, mangsa turun dari kenderaannya untuk menanggalkan kabel tunda tersebut.

Bagaimanapun ketika kerja-kerja buka kabel, kenderaan terbabit tiba-tiba bergerak sendiri,” katanya di sini hari ini.

Berikutan itu, jelasnya, mangsa cuba menahan kenderaan yang ditundanya daripada bergerak namun gagal menyebabkannya terjatuh sebelum digilis kenderaan tersebut.

“Kami menggunakan peralatan `air lifting bag’ untuk naikkan kenderaan tersebut dan seterusnya tarik mangsa keluar kira-kira 15 minit kemudian,” katanya.

Bagaimanapun katanya, mangsa telah disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala serta badan dan mayat dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Mohd. Haki Hasbullah sewaktu dihubungi mengesahkan kejadian itu sambil menambah, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini