Malaysia tuan rumah kejohanan skuasy remaja dunia - Utusan Malaysia

Malaysia tuan rumah kejohanan skuasy remaja dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pasukan remaja kebangsaan perlu menggunakan sepenuhnya kelebihan bermain di tempat sendiri, apabila Malaysia buat kali pertamanya dalam tempoh 18 tahun menjadi tuan rumah Kejohanan Remaja Dunia Yayasan CIMB 2019 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil dari 30 Julai hingga 9 Ogos ini.

Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Nik Razeen Daud berkata, beliau amat berbangga kerana dapat menganjurkan satu lagi kejohanan peringkat dunia dan percaya ia akan dapat memberikan kelebihan kepada skuad remaja negara.

“Prestasi skuad ini amat baik pada kejohanan kebangsaan, baru-baru ini, jadi dengan mendapat sokongan peminat sendiri, satu kelebihan yang besar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kita juga di tempat kedua di New Zealand, jadi mereka sepatutnya akan ke final, itu yang kita harapkan dan dalam acara individu, mereka mempunyai keupayaan untuk sampai ke final dan kita harapkan mereka akan lakukan yang terbaik dalam kejohanan itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu Pengurus Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S.Maniam berkata, pemain-pemain muda boleh mengulangi kejayaan Ratu Skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, apabila beliau menjuarai acara individu untuk kali kedua, ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi 2001.

“Nicol mencatat sejarah dalam kejohanan dunia pada masa itu, namun dalam acara wanita berpasukan, beliau dan pasukan hampir mengalahkan England. Dua tahun lepas, pasukan remaja kita sekali lagi hampir memenangi acara final, tetapi hanya menduduki tempat kedua. Tetapi kali ini, kita tidak akan gagal untuk memenanginya,” katanya.

Tahun lepas Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) telah menganugerahkan Malaysia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2019 dan di mana acara individu lelaki dan wanita akan berlangsung pada 30 Julai hingga 4 Ogos, manakala acara berpasukan wanita dari 5-9 Ogos.

Pasukan remaja wanita negara tahun ini akan dibarisi pemain terbaik diketuai pemain di bawah Yayasan CIMB yang juga Juara Terbuka Remaja Britain, Aifa Azman; Juara Kejohanan Remaja Asia, Chan Yiwen dan Ooi Kah Yan serta Noor Ainaa Amani Ampandi.

Dalam saingan remaja wanita, ia akan merangkumi acara individu dan berpasukan, manakala bagi aksi lelaki pula hanya diadakan acara individu dengan Siow Yee Xian sahaja layak sebagai pemain pilihan kelima-kelapan kejohanan.

Edisi 2019 ini akan menjadi kejuaraan ketiga bagi negara Asia menganjurkan kejohanan remaja wanita selepas edisi 1993 di Kuala Lumpur dan 2001 di Pulau Pinang.

Kejohanan dwitahunan yang kali terakhir diadakan di New Zealand pada 2017 itu, menyaksikan Mesir menang buat kali keenam berturut-turut di mana Malaysia di tempat kedua buat kali ketiga. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini