KUALA LUMPUR 23 Julai – Malaysia menduduki tempat ke-10 di peringkat global dalam kaji selidik Persidangan Penyelidikan Keyakinan Pelanggan Global dengan kerjasama Nielsen apabila memperoleh skor 110 mata bagi Indeks Keyakinan Pengguna (CCI) pada suku kedua 2019.
Pengarah Urusan Nielsen Malaysia, Luca De Nard berkata, ia merupakan suku keenam berturut-turut menyaksikan keyakinan pengguna Malaysia bertambah baik selepas pengguna hilang keyakinan 17 suku berturut-turut sejak suku keempat 2013.
“Walaupun skor indeks keyakinan pengguna merosot setiap suku tahun dan setiap tahun, skor 110 harus dilihat positif kerana majoriti pengguna positif terhadap pendapatan dan sara hidup seperti kewangan peribadi dan prospek pekerjaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut data yang dikeluarkan Nielsen, skor CCI bagi suku kedua tahun ini mencatat sedikit penurunan berbanding 115 mata yang dicatatkan pada suku pertama 2019.
Malaysia mencatatkan 117 mata dalam CCI pada suku kedua 2018.
“CCI didorong oleh tiga indikator iaitu persepsi pengguna terhadap prospek pekerjaan tempatan, kewangan peribadi dan niat atau kesediaan untuk dibelanjakan.
“Kesediaan rakyat Malaysia berbelanja tidak berubah pada setiap suku tahun dan secara tahunan, namun persepsi mengenai prospek pekerjaan dan kewangan peribadi menurun dalam tempoh masa sama,” katanya.
Menurut kaji selidik itu, 63 peratus rakyat Malaysia percaya kedudukan kewangan peribadi mereka dalam tempoh 12 bulan akan datang lebih baik berbanding 71 peratus pada suku sebelumnya.
“Sebanyak 63 peratus responden juga positif terhadap prospek pekerjaan mereka untuk tempoh satu tahun akan datang dan 48 peratus berkata sekarang adalah masa untuk membuat pembelian,” katanya.
De Nard berkata, walaupun ekonomi dan keselamatan pekerjaan sentiasa menjadi kebimbangan rakyat sejak tiga tahun lalu, terdapat penurunan berterusan dalam kebimbangan terhadap harga makanan, bahan bakar dan utiliti yang lebih tinggi.
“Ini selari dengan inflasi rendah yang dicatatkan baru-baru ini dan pada masa sama, rakyat Malaysia semakin bimbang tentang keadaan kesihatan mereka.
“Ini mungkin disebabkan oleh perhatian baru-baru ini yang telah menimbulkan kebangkitan penyakit berkaitan gaya hidup dalam kalangan rakyat Malaysia seperti diabetes, penyakit jantung, obesiti dan tekanan darah tinggi,” katanya.











