KUALA LUMPUR 26 Julai – Suka buat ‘spicy challenge’? Amaran buat anda kerana kajian mendapati orang dewasa yang gemar makan makanan pedas berlebihan akan cenderung untuk hilang ingatan.
Memetik laporan portal Daily Mail, sebuah kajian yang melibatkan lebih 4,500 orang mendapati mereka yang makan cili sehingga 50 gram sehari adalah dua kali lebih berkemungkinan mengadu mempunyai daya ingatan yang lemah.
Makan banyak cili juga dikaitkan dengan penurunan 56 peratus ingatan selama 15 tahun.
Kajian yang diketuai oleh para penyelidik di Universiti Qatar dan turut melibatkan beberapa ahli akademik dari University of Southern Australia mendapati cili memberi kesan buruk terhadap kognisi dalam kalangan orang dewasa yang lebih tua.
Pengarang utama kajian itu, Dr. Zumin Shi melihat dapatan baharu itu adalah berbeza dengan kajian yang terdahulu di mana cili dilihat bermanfaat untuk penurunan berat badan dan tekanan darah.
Kajian itu boleh dilihat dalam jurnal Nutrients yang turut melakukan kajian dalam kalangan masyarakat di beberapa daerah China memandangkan orang Asia paling ramai mengambil masakan pedas dan cili.
Penulis bersama Nutrients, Dr. Ming Li berkata: “Dalam beberapa daerah di China seperti Sichuan dan Hunan, satu daripada tiga orang dewasa makan makanan pedas setiap hari.”
Jelasnya, kajian haiwan yang memfokuskan peranan ‘capsaicin’ dalam fungsi kognitif telah menunjukkan keputusan bercampur-campur, dengan beberapa daripadanya menunjukkan cili adalah ‘neurotoksik’.
Untuk kajian mendalam, penyelidik terlibat menganalisis 4,582 orang dewasa berumur lebih daripada 55 tahun antara tahun 1991 dan 2006.
Daripada jumlah ini, 3,302 daripadanya dinilai fungsi kognitif mereka sekurang-kurangnya dua sesi pada tahun 1997, 2000, 2004 dan 2006.
Antara penilaiannya, mereka diminta untuk mengingati 10 perkataan daripada senarai dan mengira ke belakang bermula angka 20.
Peserta juga diminta menilai kenangan mereka pada skala ‘sangat baik’ kepada ‘sangat buruk’.
Pengambilan cili dipantau melalui soal selidik makanan selama tiga hari semasa setiap tinjauan. Ini termasuk lada cili segar dan kering, tetapi bukan lada Benggala atau lada hitam.
Keputusan menunjukkan semakin pedas makanan yang dimakan peserta, semakin rendah fungsi kognitif mereka.
Dalam masa sama, para saintis tidak pasti mengapa wujud kaitan antara cili dan daya ingatan memandangkan berdasarkan beberapa kajian, aktif komponen iaitu ‘capsaicin’ dalam cili membantu untuk daya ingatan yang tajam.
Dos ‘capsaicin’ yang berlebihan sebelum ini telah digunakan untuk ‘menyahaktifkan’ saraf yang menyebabkan kesakitan.
Disebabkan itu, para penyelidik mendakwa ia boleh menjejaskan daya maju saraf tetapi memberi amaran bahawa teori itu ‘sangat spekulatif’. – UTUSAN ONLINE











