KUALA LUMPUR 26 Julai – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan pihak pendakwaan mewartakan notis kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentingan ke atas wang lebih RM2.4 juta yang disita daripada Badan Perhubungan UMNO Pahang dipercayai mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ia bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.
Wang berkenaan disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu berhubung dengan pelakuan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Hakim Datuk Rozana Ali Yusof membenarkan permohonan pendakwaan mengikut notis mengikut Seksyen 61(2) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Sementara itu, di mahkamah berlainan, UMNO bahagian Pekan memfailkan bantahan awal berhubung permohonan pihak pendakwaan untuk mewartakan notis kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentingan ke atas wang RM700,000 juga dipercayai terlibat dalam skandal 1MDB.
Peguam Datuk M. Reza Hassan memaklumkan perkara tersebut ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Menurut M. Reza, notis bantahan awal berkenaan difailkan pada 22 Julai lalu dan pihaknya masih belum menerima maklum balas daripada pihak pendakwa raya.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 23 Ogos ini untuk pendengaran notis bantahan awal berkenaan.
SPRM baru-baru ini telah memfailkan permohonan perlucutan hak sivil terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. – UTUSAN ONLINE.











