Mah Sing beli tanah RM94.8j - Utusan Malaysia

Mah Sing beli tanah RM94.8j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Julai – Mah Sing Group membeli tanah seluas 2.21 hektar di Mukim Batu, Taman Metropolitan Kepong pada harga RM94.8 juta yang akan dimajukan untuk projek pembangunan mewah mampu milik, M Luna.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, projek tersebut melibatkan anggaran nilai pembangunan kasar berjumlah RM705 juta.

Katanya, M Luna merangkumi dua blok pangsapuri perkhidmatan dengan unit mampu milik berkeluasan daripada 65 meter persegi dengan harga indikatif bermula daripada RM385,000.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini adalah pembelian tanah kedua kami untuk 2019 dan perjanjian ini mencerminkan keupayaan Mah Sing untuk memperoleh tanah di kawasan tumpuan dengan harga berpatutan.

“Tanah ini bersedia untuk pembangunan segera kerana ia telah memperoleh perintah pembangunan (DO) daripada pihak berkuasa.

“Lokasinya yang strategik dipertingkatkan dengan beberapa penambahbaikan infrastruktur yang dicadangkan di sekitarnya. Ini adalah lokasi yang baik untuk pembangunan khusus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Hoy Kum, Mah Sing berhasrat untuk memanfaatkan rekod prestasi yang terbukti dalam membangunkan hartanah mampu milik berkualiti di lokasi strategik untuk memenuhi permintaan pasaran semasa.

“Sebagai pemaju yang didorong oleh pasaran, kami memahami keperluan pelanggan, itulah sebabnya kami sentiasa komited untuk terus membina pembangunan mapan dengan kualiti yang baik.

“Pengambilalihan terbaru ini sesuai dengan strategi kami mengenai pembukaan tanah untuk projek-projek di lokasi yang baik, siap untuk pembangunan segera dan sesuai untuk melancarkan produk ‘mewah mampu milik’ untuk pasaran,” katanya.

Beliau berkata, syarikat akan meneruskan strategi bagi menyediakan rumah dengan ciri-ciri mewah pada harga berpatutan kerana kumpulan tersebut percaya permintaan terhadap hartanah seumpamanya akan berterusan untuk produk yang betul, di lokasi dan harga yang tepat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini