SEPANG 27 Julai – Sebuah madrasah tahfiz wanita telah dipecah masuk oleh tiga perompak yang disyaki Geng Rantau dalam satu kejadian berlaku di Taman Desa Vista di sini, Khamis lalu.
Menurut sumber, dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa yang kesemuanya pelajar berusia antara 12 hingga 17 tahun ketika itu sedang tidur.
Difahamkan, pemilik premis yang merupakan seorang ustazah berusia lingkungan 40an juga sedang tidur ketika suspek bersenjatakan parang memecah masuk dengan mengumpil pintu pagar belakang pusat tahfiz berkenaan.
“Dua orang pengawal keselamatan juga dipercayai tertidur ketika kejadian berlaku, malah mereka tidak menyedari rumah itu dimasuki perompak.
“Suspek walau bagaimanapun berjaya melarikan wang tunai dianggarkan berjumlah RM2,000 dan beberapa buah telefon bimbit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali ketika dihubungi telah mengesahkan kejadian itu.
“Sehingga kini polis difahamkan bahawa ketiga-tiga suspek adalah warga Indonesia dan ahli Geng Rantau,” ujarnya.
Katanya lagi, semua mangsa tidak mengalami kecederaan.
“Tiada tangkapan setakat ini dan usaha memburu suspek masih giat dijalankan oleh pihak polis,” katanya.-UTUSAN ONLINE











