KUALA LUMPUR 26 Julai- Datuk Lokman Noor Adam meninggalkan Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini selepas dirakam percakapan berhubung laporan dibuat Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu selesai memberi keterangan kepada pihak polis kira- kira pukul 12.40 tengah hari.
Katanya, proses itu berlangsung dengan lancar dan beliau telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis.
“Segalanya berjalan baik cuma agak lama kerana mereka berbincang sama ada untuk menahan atau membebaskan saya,
“Saya nyatakan segala pertanyaan akan dijawab di mahkamah jika saya didakwa kerana kita sebagai rakyat negara ini mempunyai hak untuk memberi keterangan sebagai saksi di mahkamah,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Terdahulu, Lokman tiba kira-kira pukul 10.15 pagi dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam serta membawa sebuah bagasi.
Kelmarin, Abdul Hamid mengesahkan pihaknya telah membuat laporan polis terhadap Lokman yang melabelkan beliau sebagai penipu.
Tegasnya, semua pihak boleh mengeluarkan apa sahaja kenyataan berhubung isu berkenaan tetapi beliau tidak dapat menerima tuduhan mengatakan beliau sebagai Ketua Polis Negara menipu dalam siasatan kes tersebut.- UTUSAN ONLINE










