LARUT 24 Julai – Selepas hampir lima tahun menjadi mangsa nafsu bapa sendiri, seorang remaja perempuan bertindak nekad dengan melaporkan perbuatan jijik lelaki itu kepada pihak polis.
Laporan yang dibuat remaja perempuan berusia 19 tahun itu kelmarin membawa kepada penangkapan suspek berusia 48 tahun pada hari sama.
Lelaki tersebut diberkas pada pukul 5 petang ketika hadir memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Selama.
Difahamkan, remaja tersebut telah beberapa kali dirogol bapanya dengan kali terakhir perbuatan itu dilakukan pada bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintenden Mohd. Sabri Saad berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak ketiga daripada enam beradik itu yang mendakwa menjadi mangsa rogol bapanya sejak berusia 14 tahun.
Katanya, susulan laporan polis yang dibuat pelajar kolej di Selama itu, suspek telah ditangkap dan direman tujuh hari bermula semalam.
“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan dan apabila kertas siasatan lengkap, ia akan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE











