KUALA LUMPUR 22 Julai – Polis kini sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pecah kedai di Jalan Medan, Pusat Bandar Bangi dekat sini hari ini.
Satu siasatan telah dilakukan susulan satu laporan yang dibuat oleh pemilik kedai kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, mangsa pada mulanya telah dimaklumkan oleh jirannya yang memberitahu tingkap kedainya telah terbuka.
Ujarnya, susulan itu, mangsa kemudiannya datang ke kedainya sebelum mendapati pintu utama telah terbuka selain terdapat kesan umpil.
“Selain itu, kotak akses pintu kaya di kedai mangsa juga telah dicabut selain wayarnya dipotong.
“Pemeriksaan lanjut di dalam kedai kemudiannya mendapati peti tunai di kaunter bayaran telah terbuka dan wang tunai RM2,000 di dalamnya telah hilang selain sebuah telefon jenis Samsung turut dilarikan penjenayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Dzaffir, semakan lanjut rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kelihatan seorang lelaki yang bangsanya tidak dikenal pasti telah memecah masuk premis itu.
Jelasnya, lelaki tersebut telah memakai topi berwarna putih selain berbaju t-shirt dan sebuah beg silang.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes di siasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mat Sani Kumpol di talian 013-2763655,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE











