JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga Myanmar ditahan selepas mengintai rakan sekerja membuang air kecil di tandas sebuah kilang di Taman Perindustrian Berjaya dekat Kempas, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Taib Ahmad berkata, suspek yang berumur 23 tahun dan bekerja sebagai operator kilang ditahan selepas laporan dibuat mangsa kira-kira pukul 12 tengah hari.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi ketika mangsa yang merupakan kerani kilang terbabit berada di dalam tandas wanita di tingkat bawah kilang untuk membuang air kecil.
“Mangsa menyedari ada orang mengintai dan merakam gambarnya menggunakan telefon bimbit dari bilik tandas sebelah. Mangsa kemudiannya melaporkan kejadian terbabit kepada pihak pengurusan kilang.
“Pemeriksaan pihak pengurusan kilang dan mangsa mendapati terdapat seorang lelaki di tandas terbabit. Suspek ditahan sebelum pemeriksaan keatas telefon bimbit miliknya mendapati beberapa keping gambar milik mangsa yang sedang membuang air kecil diambil,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohd. Taib berkata, susulan itu suspek telah ditahan bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 509 dan 292 Kanun Keseksaan iaitu mengaibkan kehormatan dan menyimpan gambar dan video lucah.
“Permohonan reman akan dilakukan keatas suspek bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya. – K! ONLINE.











