TEMERLOH 23 Julai – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengugut ibunya menggunakan pisau di Kampung Pamah Kaseh di sini pada 6 Jun lalu.
Tertuduh, Wan Azmi Wan Ab. Ghani, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Nurul Balqis Zunaidi.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Ogos ini tarikh semula sebutan kes dan tertuduh ditawarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa yang berusia 66 tahun pada pukul 9 malam di
Kampung Baru Pamah Kaseh di sini pada 6 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mendatangkan ketakutan dengan mengacu pisau di leher serta mengugut akan menikam mangsa.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Asyikin Nor Azhar manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tan Yu Tang. – UTUSAN ONLINE











