REYKJAVIK,Iceland – Lebih 50 ekor paus pilot ditemui mati terdampar di sebuah pantai di barat Iceland, lapor akhbar Mirror.
Beberapa pelancong yang bersiar-siar di lokasi tersebut dengan menaiki helikopter menemui bangkai haiwan itu di Longufjorur pada Khamis lalu.
Juruterbang syarikat Reykjavik Helicopters, David Schwarzhans berkata, dia dan penumpangnya mengira sehingga 50 ekor paus pilot sirip panjang didapati terdampar di pantai itu.
“Mungkin terdapat lebih banyak bangkai paus ini. Sesetengahnya mungkin terbenam ke dalam pasir,” kata David.
Menurutnya, bangkai paus tersebut tertumpu di satu lokasi. Dia menyifatkan penemuan itu sebagai ‘pemandangan yang menyedihkan’.
Mamalia itu dipercayai berenang ke darat pada masa yang sama dan mati akibat kehilangan air dalam badan.
Ikan paus pilot terkenal kerana terdampar dalam kumpulan besar, manakala punca fenomena itu masih tidak dapat difahami secara menyeluruh.
Pada tahun lalu, penduduk tempatan membantu mengusir kawanan paus dari sebuah lokasi di semenanjung berkenaan untuk kembali ke tengah laut. – Agensi











