KUALA LUMPUR – Laporan suku kedua Peta Hala Tuju FAM 2019-2030 (F:30) bagi Pelan Strategik 1, menunjukkan peningkatan lima peratus bagi purata ketiga-tiga teras utama F:30, sekali gus membuktikan pelan itu terus berada dalam landasan terbaik untuk dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Peningkatan itu merangkumi tadbir urus (kakitangan dan dasar), pembangunan (bola sepak, ahli gabungan, infrastruktur dan rakan kerjasama) dan pertandingan (bola sepak lelaki, bola sepak wanita dan futsal).
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan, hari ini berkata, laporan kedua bagi tempoh April hingga Jun 2019 itu menunjukkan tadbir urus meningkat empat peratus daripada 23 peratus pada suku pertama kepada 27 peratus dalam suku kedua 2019.
Antara program dalam tadbir urus dijalankan sepanjang tempoh suku kedua tahun ini ialah pindaan terhadap Statut FAM telah dilengkapkan dan dibentangkan pada Kongres FAM ke-55 yang berlangsung 13 Julai lalu.
Dari segi pembangunan pula meningkat enam peratus, daripada 24 kepada 30 peratus, manakala untuk pertandingan, meningkat enam peratus daripada 30 kepada 36 peratus.
Bagi Pembangunan, FAM telah menerima Sijil Keahlian Konvensyen Kejurulatihan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 25 Jun lepas, sekali gus boleh menganjur dan menjalankan kursus kejurulatihan peringkat dan kategori masing-masing, tanpa menjalani proses lama mendapatkan kelulusan AFC terlebih dahulu.
Sementara bagi pertandingan menyaksikan saingan liga futsal profesional pertama negara, Liga Perdana Futsal Malaysia (Malaysia Premier Futsal League – MPFL) 2019 berjaya dilangsungkan bermula 22 Jun dan kini masih berjalan.
Untuk rekod, F:30 dilancarkan secara bersama Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino; Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin di Kuala Lumpur pada 31 Oktober tahun lepas.
Ia dibahagikan kepada tiga peringkat Pelan Strategik iaitu Pelan Strategik 1 (2019-2022) untuk membentuk teras asas; Pelan Strategik 2 (2023-2026) untuk mula menguasai Asia; dan Pelan Strategik 3 (2027-2030) menguasai peringkat dunia.
Laporan pertama F:30 dibentangkan 3 April lepas, bagi memberitahu perkembangan sepanjang tempoh suku pertama 2019 (Januari hingga Mac 2019) yang merangkumi peratusan terkini sasaran strategik dan perkara tindakan dibuat bagi pelaksanaan Pelan Strategik 1, dalam tempoh empat tahun pertama (2019-2022).
FAM akan membentangkan laporan ketiga pada Oktober ini, dan laporan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pemegang taruh bola sepak dapat mengetahui perkembangan terkini mengenai F:30. – BERNAMA











