Lapan ditahan terlibat kes samun, pecah rumah - Utusan Malaysia

Lapan ditahan terlibat kes samun, pecah rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Julai – Polis menahan lapan individu termasuk seorang wanita yang dipercayai aktif dalam kegiatan samun dan pecah rumah di daerah Serdang, dekat sini menerusi tiga serbuan di sekitar daerah itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 50-an itu dipercayai turut terlibat dalam kegiatan curi kenderaan dan penyalahgunaan dadah.

“Kita menahan dua suspek pertama berusia 20-an pada pukul 11.30 pagi dan siasatan mendapati mereka baru sahaja melakukan samun di daerah ini kurang lima jam daripada waktu tangkapan dibuat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pasukan polis kemudian menahan tiga lelaki di sekitar Bandar Kinrara pada pukul 11.45 pagi seterusnya menahan dua lelaki dan seorang wanita di stesen minyak Pasar Borong Selangor, Serdang pada pukul 4 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismadi memaklumkan, kesemua suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau membabitkan pelbagai jenis jenayah terutamanya pecah rumah, samun dan curi kenderaan.

“Kita juga berjaya merampas semula barangan hasil samun antaranya 33 utas jam tangan, 22 unit telefon bimbit, barangan kemas serta pelbagai jenis kenderaan yang dipercayai digunakan mereka untuk melakukan jenayah.

“Berdasarkan pengakuan hasil soal siasat awal, kita percaya mereka terlibat dalam kes-kes di sekitar Lembah Klang dan ada juga giat melakukan jenayah sama di Johor dan Klang,” ujarnya.

Tambah beliau, kesemua suspek kini ditahan reman tujuh hari bermula hari ini sehingga 30 Julai. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini