LONDON 22 Julai – Pengawal Revolusi Iran didakwa mempunyai kira-kira 2,000 kapal ronda laju (FAC) yang dilengkapi dengan mesingan berat dan pelancar roket selain peluru berpandu antikapal yang berupaya melakukan serangan besar-besaran, sekali gus mencetuskan kebimbangan pelbagai kuasa luar.
Lapor Daily Mail, FAC didakwa boleh muncul dalam tempoh beberapa minit sahaja di Selat Hormuz yang digunakan lebih 100 buah kapal tangki pada setiap hari dan mampu untuk menenggelamkan kapal seberat 1,500 tan.
Menurut penganalisis, hanya kapal besar diwajibkan melaporkan kedudukan kapal mereka namun peraturan itu tidak terpakai kepada bot kecil di perairan itu, sekali gus menyukarkan usaha mengesan kapal tentera Iran.
Walaupun tentera Iran tidak setanding dengan angkatan laut dari Barat, Teheran mengembangkan kekuatan mereka dalam ‘teknik asimetrik’ yang menyukarkan kapal perang apatah lagi kapal tangki mempertahankan diri terhadap serangan oleh FAC.
Penganalisis juga percaya bahawa Iran telah membangunkan dron yang boleh dimuatkan dengan bahan peledak dan sukar untuk dikesan radar sekali gus membuatkan mana-mana negara agar tidak memandang remeh keupayaan Iran. – AGENSI











