Lagi markas judi online digempur - Utusan Malaysia

Lagi markas judi online digempur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Dua buah premis perniagaan di Jalan Setia Tropika 1/8, Taman Setia Tropika di sini yang dijadikan markas judi online antarabangsa diserbu sepasukan anggota polis dari Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor malam tadi.

Dalam serbuan Ops Dadu Khas bermula pada pukul 10.30 malam itu, seramai 59 lelaki dan lapan wanita warga China serta tiga lelaki Myanmar yang berusia antara 18 hingga 45 tahun diberkas.

Ketua JSJ Johor, Senior Asisten Komisioner Md. Yusof Ahmad berkata, kesemua individu yang ditahan bekerja sebagai operator panggilan judi atas talian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sindiket ini berpusat di negara China dan mereka mensasarkan pelanggan dari China dengan menggunakan modus operandi melalui aplikasi WeChat.

“Operator akan mencari pelanggan melalui WeChat dengan menggunakan skrip yang disediakan sindiket bagi menarik pelanggan mereka menyertai judi online,” katanya ketika ditemui dalam operasi di Jalan Setia Tropika, Taman Setia Tropika di sini.

Hadir sama ialah Timbalan JSJ (Risikan/Operasi) IPK Johor, Asisten Komisioner Hoo Chuan Huat dan Pegawai Turus D7 IPK Johor, Deputi Superintendan Mohd. Zairi Badderul.

Md. Yusof berkata, serbuan ini merupakan kejayaan kedua polis IPK Johor dengan kerjasama pasukan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai dan Johor Bahru Utara selepas melakukan intipan dan risikan sejak seminggu yang lalu.

Jelasnya, sindiket ini dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan sindiket pertama yang ditahan pada 21 Mei yang lalu.

Katanya, polis berjaya merampas pelbagai peralatan judi termasuk 99 buah komputer, telefon pintar (108), modem internet (19) serta 91 buah buku skrip dalam tulisan mandarin.

“Mereka yang diberkas akan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,”katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini