KUALA LUMPUR 22 Julai – JIKA ada satu perkara yang paling ‘menyemakkan’ penduduk di Selangor dan Lembah Klang, ia tidak lain tidak bukan adalah masalah gangguan bekalan air.
Bahkan ada yang sanggup melupakan hasrat untuk membina kehidupan di ibu kota apabila mengenangkan isu yang tidak berkesudahan itu.
Walaupun tidak berlaku setiap minggu atau bulan, kekerapan gangguan di dua-dua negeri itu jauh lebih tinggi berbanding negeri lain sehingga mencetuskan banyak persoalan.
Ia mungkin tidak begitu membebankan bagi mereka yang tinggal di rumah teres atau banglo kerana mempunyai tangki air sendiri.
Namun bagi penduduk yang tinggal di kediaman bertingkat seperti flat dan kondominium, satu hari tanpa air sudah cukup memeritkan.
Apatah lagi yang mempunyai anak kecil, orang kurang upaya dan warga emas. Bayangkan pula ibu-ibu separuh usia yang terpaksa ‘membilang anak tangga’ setiap pagi untuk mengusung air.
Ya, sekali setahun mungkin masih boleh diterima tapi untuk tahun ini sahaja sekurang-kurangnya dua gangguan bekalan air berskala besar (Mac dan Jun) telah berlaku dan menjejaskan jutaan penduduk.
Terbaharu, lebih sejuta terputus bekalan ekoran pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor sejak Jumaat lalu. Jika dikira, gangguan tidak berjadual kali ini adalah kali kedua dalam tempoh kurang sebulan dan ketiga dalam tahun ini.
Cumanya berbeza dengan tahun terdahulu, penyebaran maklumat mengenai masalah dilihat diurus semakin cekap oleh agensi yang berkenaan. Namun sejauh mana pun kecekapan khidmat pelanggan dipamerkan, pengguna pada pengakhirannya hanya mahukan air.
Realitinya juga, ramai yang ‘sangsi’ terhadap kemampuan pihak berkenaan menguruskan krisis. Dengan mengemukakan pelbagai punca dan alasan mungkin dapat mententeramkan orang ramai seketika, namun sampai bila. Penyelesaian yang efektif adalah jawapannya.
Justeru sampai masanya kerajaan ‘menekan’ pihak pengurusan air supaya segera menyelesaikan masalah-masalah yang sudah berulang sejak berpuluh tahun lamanya.











