KPLB cadang bina tiga pusat keusahawanan desa - Utusan Malaysia

KPLB cadang bina tiga pusat keusahawanan desa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAHAD DATU 22 Julai – Kementerian Pembangunan Luar Bandar bercadang membina pusat keusahawanan desa di tiga daerah di Sabah iaitu Lahad Datu, Keningau dan Kota Belud, kata menterinya, Datuk Ewon Benedick.

Datuk Ewon Benedick

Beliau berkata, pembinaan itu sebagai tanda sokongan kementerian terhadap program-program keusahawanan di daerah terbabit dan sekitar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Secara prinsipnya kita (kementerian) setuju bina pusat ini, dari segi kos, kita tinjau dulu kesesuaian tapak ini sebelum memutuskan kos peruntukan yang terlibat dan kita memang menyediakan peruntukan khusus untuk program pembangunan usahawan desa.

“Pengisian produk dalam kompleks pula terpulang kepada pihak berkuasa tempatan daerah misalnya boleh bawa masuk perniagaan produk kraftangan atau pakaian etnik serta makanan berasaskan ikan,” katanya kepada media selepas lawatan kerja rasmi ke Lahad Datu di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Ewon, proses pemutihan program Mini Estet Sejahtera (Mesej) Nala dekat sini sedang dijalankan.

Katanya, langkah itu untuk memastikan peserta terlibat adalah layak, komited serta aktif melibatkan diri dengan aktiviti di Mesej.

“Jika kita (kementerian) dapati peserta itu hanya atas nama sahaja dan orang lain yang melaksanakan, kita akan keluarkan peserta dari Mesej ini,” katanya.

Di Sabah terdapat 52 Mesej membabitkan 2,500 peserta.

Selain itu, Ewon berkata, pihaknya kini dalam proses memperkenalkan aktiviti pelancongan dalam kawasan Mesej.

“Saya lihat Mesej Nala, di situ juga ada potensi untuk dibangunkan,” katanya.

Jelas Ewon, Lahad Datu banyak berkisar kepada sektor pelancongan dan perkara itu selari dengan keputusan Kabinet Sabah yang menubuhkan jawatankuasa khas kabinet mengenai pembangunan pelancongan luar bandar. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini